
Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengkritik budaya masyarakat yang menilai calon pemimpin berdasarkan sentimen dan personaliti, bukannya keupayaan mentadbir dan kebolehan menyelesaikan masalah.
Bekas menteri ekonomi itu berkata amalan tersebut menyaksikan ramai calon perdana menteri diketengahkan, namun formulanya untuk menyelesaikan masalah tetap kurang jelas.
“Budaya masyarakat kita yang menilai seorang calon pemimpin berdasarkan sentimen dan personaliti, bukannya kebolehan dan ilmu untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah,” kata Rafizi dalam hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan pemimpin politik — termasuk perdana menteri, menteri dan menteri besar — digaji oleh rakyat untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah rakyat, bukan sekadar untuk menambat hati melalui personaliti.
Rafizi menambah bahawa kaedah memilih wakil dan parti politik perlu diubah jika Malaysia mahu mengatasi masalah berterusan. “Kitaran ini akan berterusan, masalah akan dipanjangkan dan sebenarnya yang menanggung beban adalah tukang wala’ politik yang tidak bergaji,” katanya.
Walaupun tidak menyebut secara langsung, perhimpunan agung tahunan Bersatu minggu lalu menamakan Presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Keadaan menjadi tegang apabila Muhyiddin, ketika menyampaikan ucapan dasar pada malam Sabtu, mendakwa ada pihak mengumpul tandatangan untuk menggulingkannya — yang mencetuskan kekecohan di dewan.
Sekumpulan kecil perwakilan dikatakan bangun dan menjerit agar Muhyiddin meletak jawatan, diikuti sorakan ‘hidup Tan Sri’ daripada penyokong lain yang hadir.
Rafizi mengakhiri kenyataannya dengan mengimbas bahawa pergolakan di kalangan parti politik besar bukan perkara asing; parti-parti seperti DAP, Umno, PAS dan juga PKR sendiri pernah berdepan isu dalaman serupa.