
Seramai 12 mangsa maut manakala empat lagi hilang selepas sebahagian jambatan yang sedang dibina di barat laut China runtuh semalam, lapor media kerajaan.
Rakaman video yang disiarkan oleh penyiar negara, CCTV, menunjukkan segmen gerbang tengah jambatan tiba-tiba roboh dan menjunam ke dalam Sungai Kuning di bawahnya.
Agensi berita Xinhua melaporkan punca kejadian adalah kegagalan kabel keluli.
Akhbar People’s Daily pula memaklumkan bahawa ketika insiden berlaku, terdapat 15 pekerja dan seorang pengurus projek di tapak pembinaan. “Seramai 12 orang disahkan meninggal dunia dan empat lagi masih hilang,” menurut laporan CCTV.
Jambatan di Laluan Kereta Api Sichuan–Qinghai itu merupakan jambatan gerbang kekuda keluli berterusan berkembar dua landasan dengan bentangan terbesar di dunia. Ia juga merupakan jambatan gerbang kekuda keluli kereta api pertama di China yang merentasi Sungai Kuning, sungai kedua terpanjang di negara itu.
Imej yang disiarkan media kerajaan menunjukkan struktur jambatan yang belum siap dengan bahagian tengahnya hilang, diapit dua menara perancah gergasi serta beberapa kren di sisi.
Xinhua turut melaporkan ratusan anggota penyelamat digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat.
Kemalangan industri kerap berlaku di China, antara lain dikaitkan dengan peraturan yang kabur dan piawaian keselamatan yang longgar. Pada Disember tahun lalu, 13 orang dilaporkan hilang susulan runtuhan di tapak pembinaan landasan kereta api utama di Shenzhen, selatan China, tanpa sebarang laporan mangsa terselamat.