Seramai 11 orang cedera selepas sebuah menara tertinggi di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, menjadi sasaran serangan dron yang menurut pihak berkuasa Saudi dilakukan oleh kumpulan Houthi dari Yaman.
Serangan pada Selasa (24 Nov) itu menyasarkan menara yang menempatkan ibu pejabat Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi di Daerah Kewangan Raja Abdullah.
Menurut Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi, mangsa yang cedera terdiri daripada dua warga Saudi, dua rakyat India, tiga warga Nepal dan empat warga Mesir. Sekurang-kurangnya dua daripada 11 mangsa itu dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat melecur teruk.
Pasukan kecemasan segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa serta menjaga keselamatan orang awam.
Jurucakap pakatan tentera pimpinan Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki al-Maliki, berkata serangan itu dilakukan menggunakan dron. Beliau turut memberi amaran bahawa serangan yang sengaja menyasarkan orang awam dan kemudahan awam akan dibalas dengan tindakan tegas.
Bagaimanapun, Houthi belum mengumumkan sebarang serangan baharu pada Selasa.
Menara diserang buat kali kedua
Menurut Reuters, menara setinggi 385 meter itu menjadi sasaran serangan buat kali kedua dalam tempoh kurang seminggu. Serangan terdahulu pada Khamis (19 Nov) menyebabkan kerosakan pada beberapa tingkat bangunan tersebut, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Reuters menyatakan pihaknya belum dapat mengesahkan tahap kerosakan akibat serangan terbaharu itu. Menurut sumber yang mengetahui kejadian itu, beberapa individu sedang menjalankan kerja pembaikan kerosakan akibat serangan terdahulu ketika bangunan tersebut diserang sekali lagi.
Ketegangan serantau meningkat
Kumpulan Houthi yang disokong Iran meningkatkan serangan terhadap kemudahan minyak, lapangan terbang dan bangunan pejabat di Arab Saudi sejak ketegangan di Yaman kembali memuncak pada Julai lalu.
Serangan berulang itu turut menjejaskan operasi penerbangan serta menyebabkan beberapa acara antarabangsa di Arab Saudi ditangguhkan atau dibatalkan.
Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi pula melancarkan serangan udara terhadap sasaran dan kubu Houthi di Yaman.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.