
Presiden Mexico Claudia Sheinbaum menggesa gangguan seksual diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah di seluruh negara selepas insiden memalukan yang berlaku ketika beliau berjalan kaki ke satu acara berhampiran Istana Presiden pada Selasa.
Dalam rakaman yang tular di media sosial, seorang lelaki dipercayai mabuk menghampiri Sheinbaum dari belakang, memeluk bahunya, menyentuh pinggul dan dada serta cuba mencium leher beliau. Anggota keselamatan segera bertindak menarik lelaki itu dan beliau kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa.
Sheinbaum, wanita pertama memegang jawatan presiden Mexico, berkata beliau membuat laporan polis apabila dimaklumkan lelaki sama turut mengganggu wanita lain. “Jika ini boleh berlaku kepada seorang Presiden, bagaimana pula nasib wanita lain di negara ini?” soalnya dalam sidang media pada pagi Rabu.

Beliau berkongsi bahawa gangguan seksual bukan perkara baru dalam hidupnya dan pernah mengalaminya sejak zaman pelajar. “Tiada lelaki berhak melanggar ruang peribadi wanita,” tegas beliau, sambil menyatakan hasrat melancarkan kempen nasional bagi memastikan gangguan seksual diisytiharkan jenayah di semua 32 wilayah persekutuan Mexico.
Ketika ini, tidak semua negeri mempunyai peruntukan undang-undang yang menghukum perbuatan tersebut, walaupun ia sudah menjadi kesalahan di Mexico City. Insiden ini juga mencetuskan kritikan terhadap tahap keselamatan Presiden, namun Sheinbaum menegaskan beliau tidak akan mengubah pendekatan mesra rakyat yang diamalkan sejak awal pentadbiran. “Saya mahu kekal dekat dengan rakyat,” katanya.
Kemarahan masyarakat dan aktivis hak wanita timbul susulan kejadian itu, yang menurut mereka mencerminkan budaya ‘macho’ yang masih berakar dalam masyarakat Mexico. Menurut data UN Women, kira-kira 70% wanita Mexico berusia 15 tahun ke atas pernah mengalami sekurang-kurangnya satu insiden gangguan seksual dalam hidup mereka.
Mayor Mexico City Clara Brugada menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Sheinbaum dan menganggap gangguan terhadap Presiden sebagai “serangan terhadap semua wanita.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.
