
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti dua lagi syarikat yang disyaki mendapatkan projek pembinaan pusat data dengan merasuah seorang pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang baru-baru ini ditahan.
Menurut sumber, beberapa pengarah syarikat juga telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati suspek utama iaitu pengurus projek mengaku meminta kira-kira tiga peratus daripada nilai projek daripada mana-mana syarikat yang mahu mendapatkan projek daripada syarikat berkenaan,” katanya.
Difahamkan, rasuah itu melibatkan pendedahan harga tender dan memastikan syarikat yang membayar rasuah diberi keutamaan untuk memenangi tender.
“Bayaran rasuah dibuat secara berperingkat mengikut kemajuan pembayaran projek dan difahamkan masih ada beberapa juta ringgit belum dibayar kepada suspek,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan pengurus projek itu cuba membakar hampir RM1 juta wang tunai di rumahnya di Petaling Jaya ketika serbuan Op Ways dijalankan SPRM. Pegawai menemui helaian wang RM100 sedang terbakar.
Pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira RM7.5 juta wang tunai yang disorok dalam beberapa kotak bantal, bersama tiga jam mewah, Rolex, Omega dan Cartie, serta barang kemas seperti cincin dan syiling emas.
Pada Jumaat, media turut melaporkan SPRM menahan seorang pengurus kontrak, isterinya dan dua lelaki berusia lingkungan 40 hingga 60-an di sekitar Lembah Klang, dipercayai terlibat dalam kes rasuah berkaitan tender projek pusat data bernilai RM180 juta di Johor.