Anthony Loke mengesahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan akan berkuat kuasa sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Najib Razak, tiba di kediamannya untuk menjalani tahanan di rumah.
Setiausaha Agung DAP yang dilantik sebagai Menteri Pengangkutan pada 2022 itu meletak jawatan pada September, selepas Najib dikurniakan pengampunan bersyarat.
“Saya difahamkan pembayaran RM50 juta itu telah pun diselesaikan di Mahkamah Tinggi pagi tadi,” katanya pada sidang media.
“Sebaik sahaja Najib tiba dan menjejakkan kaki di rumah, berkuat kuasalah (peletakan jawatan saya). Kalau malam ini jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa. Kalau esok, esoklah. Saya akan utuskan satu surat tambahan kepada perdana menteri.”
Najib dihantar ke klinik pergigian
Walaupun terdapat laporan media mendakwa Najib telah meninggalkan Penjara Kajang, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan beliau dihantar ke klinik pergigian terlebih dahulu untuk pemeriksaan yang dijadualkan.
Najib belum dihantar pulang ke rumah.
Pendirian tidak berubah
Mengulas lanjut, Loke berkata pendiriannya tidak berubah dan beliau akan mengotakan janjinya untuk melepaskan jawatan menteri.
Menurutnya, surat peletakan jawatan asal telah pun diserahkan sebelum ini. Beliau juga sempat berbincang mengenai perkara itu dengan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, selepas mesyuarat Jemaah Menteri.
Loke memberi jaminan bahawa segala perancangan dan inisiatif utama di bawah Kementerian Pengangkutan tidak akan terjejas. Semuanya akan diteruskan oleh pegawai-pegawai kementerian.
Ini termasuk pelancaran MyKomuter KTMB menjelang Disember, pengoperasian ERL pada 12 Dis, serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link pada Februari depan.
“Walaupun saya tidak lagi menjadi menteri pengangkutan, saya tetap seorang Ahli Parlimen dan akan terus memberi sokongan serta bantuan kepada kementerian,” katanya.
Perintah tahanan rumah dikeluarkan
Perkembangan ini menyusuli pengesahan peguam Najib, Farhan Shafee, bahawa Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah tahanan rumah terhadap anak guamnya susulan pembayaran denda RM50 juta.
Umno sebelum ini berkata parti itu telah melunaskan denda yang dikenakan terhadap bekas presidennya itu, selepas berjaya mengumpulkan dana mencukupi menerusi kempen kutipan derma yang dilancarkan pada September.
Pada September tahun ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberikan satu lagi pengampunan bersyarat kepada Najib. Pengampunan itu membolehkannya menjalani baki tempoh hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Pembebasan itu tertakluk kepada syarat Najib membayar denda RM50 juta dan mematuhi syarat-syarat lain.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.