
Majikan di seluruh negara wajib mematuhi pengisytiharan 15 September ini sebagai cuti kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia, tegas Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Beliau menjelaskan bahawa majikan mempunyai dua pilihan: sama ada memberikan cuti kelepasan am tambahan tersebut dengan pembayaran gaji biasa, atau mengarahkan pekerja hadir bekerja dan membayar mereka mengikut kadar gaji hari kelepasan am yang ditetapkan.
“Sebagai alternatif, majikan juga boleh memilih untuk memberi gantian cuti pada hari lain sekiranya pekerja diarah bekerja pada hari kelepasan am berkenaan,” katanya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Steven Sim menambah, “Bagi memastikan pelaksanaan cuti kelepasan am tambahan ini adil dan teratur, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersedia sepenuhnya untuk memberikan khidmat nasihat serta menjawab sebarang pertanyaan daripada majikan dan pekerja berhubung pelaksanaannya.”
Steven Sim menyatakan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengisytiharkan 15 September 2025 (Isnin) sebagai hari kelepasan am tambahan sempena Hari Malaysia.
“Pengisytiharan ini merupakan khabar gembira buat pekerja sektor awam mahupun swasta di seluruh negara,” katanya.
Beliau menekankan, “Cuti tambahan ini memberikan ruang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan perpaduan, memperkukuh semangat kebangsaan, serta menghargai keistimewaan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama, dan budaya.”
Steven Sim turut menambah bahawa cuti panjang ini boleh dimanfaatkan untuk aktiviti riadah yang mampu meningkatkan kesejahteraan hidup pekerja Malaysia. Selain itu, aktiviti ekonomi juga dijangka rancak sepanjang tempoh cuti panjang, sekali gus membawa impak positif kepada ekonomi setempat.
Pelaksanaan cuti tambahan ini, jelas beliau, tertakluk kepada peruntukan undang-undang pekerjaan sedia ada. Ini termasuk Seksyen 60D (1) Akta Kerja 1955 [Akta 265] bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ordinan Buruh Sabah (Bab 67), Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76), serta Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] sebagai asas pengisytiharan rasmi cuti tambahan oleh kerajaan.
Majikan atau pekerja yang memerlukan panduan lanjut boleh menghubungi talian hotline Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di 03-8886 5192/5937, atau menghantar e-mel ke jtksm@mohr.gov.my, atau hadir ke Pejabat JTK berhampiran.