
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, mengecam pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa (23 Julai) yang digembar-gemburkan sebagai ‘penghargaan khas’ untuk rakyat, namun disifatkan sebagai “filem cap ayam” yang tidak memenuhi jangkaan rakyat.
Beliau berkata, satu-satunya perkara menarik hanyalah bantuan tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa (bernilai RM2 bilion), yang menurutnya boleh diumumkan ketika Bajet 2026. “Pengumuman ini dibuat tergesa-gesa untuk meredakan kemarahan rakyat menjelang Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai,” katanya.
Beliau menyindir, “teaser seminggu lalu kononnya filem pecah panggung, rupanya filem cap ayam dengan software ciplak.”
Ahmad Fadhli turut menyatakan bahawa penurunan harga RON95 sebanyak 5 sen langsung tidak bermakna, manakala kenaikan harga lantai padi tidak membawa manfaat sebenar kerana kos diesel, baja dan penyelenggaraan mesin terus meningkat. “Yang untung bukan pesawah, tapi tauke,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan: “RM2 bilion bantuan tunai tidak setanding dengan penjimatan RM7.5 bilion hasil penyasaran subsidi diesel.”
“Tiada impak jangka panjang daripada pengumuman ini. Ia tidak akan menghalang rakyat turun ke jalan raya. 26 Julai, jumpa di Kuala Lumpur!” tegasnya.