
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menepis kritikan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang mempersoalkan mengapa beliau perlu ‘rock the boat’ dalam isu Taiwan.
Anwar menegaskan kenyataannya tidak menyimpang daripada Dasar Satu China yang diamalkan Malaysia sejak 1974.
Beliau turut menafikan dakwaan Hamzah bahawa kenyataannya dalam wawancara dengan Al Jazeera menyokong penggunaan kekuatan ketenteraan China terhadap Taiwan sehingga mencetuskan kemarahan Taipei.
“Apakah saya kata setuju pasal itu China menyerang Taiwan? Saya kata tak,” katanya menjawab soalan tambahan Hamzah (PN-Larut) di Dewan Rakyat.
Hamzah persoal keperluan kenyataan itu
Hamzah mempersoalkan keperluan Anwar mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan Malaysia sejak sekian lama mengamalkan Dasar Satu China dan menikmati hubungan perdagangan yang baik dengan Taiwan.
Beliau mendakwa pasaran saham menyusut hampir 10% pada November. Hamzah turut membangkitkan risiko negara jiran seperti Vietnam dan Thailand menawarkan insentif untuk menarik pelaburan Taiwan.
Justeru, Hamzah meminta kerajaan mempertimbangkan pendekatan diplomatik baharu bagi meredakan isu itu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata dalam wawancara berkenaan beliau menegaskan sokongan terhadap Dasar Satu China dan penyelesaian secara damai.
“We believe there should be amicable resolution through peaceful efforts,” kata Anwar, mengulangi pendiriannya.
Menurutnya, apabila ditanya mengenai kemungkinan China menyerang Taiwan, beliau menjelaskan perkara itu sebagai urusan domestik yang Malaysia tidak campur tangan.
Mengenai penyusutan pasaran saham, Anwar berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E), kecerdasan buatan (AI) serta pusat data turut mengalami kejatuhan sementara di negara lain, termasuk akibat perkembangan membabitkan syarikat teknologi Nvidia.
Belum ada petanda pelabur Taiwan berundur
Anwar turut menegaskan belum ada petanda pelabur Taiwan menarik diri atau menghentikan pelaburan baharu di Malaysia susulan kenyataannya mengenai Dasar Satu China.
Beliau berkata, semakan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) semalam mendapati operasi serta pelaburan syarikat Taiwan di negara ini masih berjalan seperti biasa.
“Semalam, dalam forum Miti, semua rundingan dan pelaburan baharu itu belum ada petanda mereka berundur atau ditegah untuk melabur di Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.
Perkembangan itu menyusul laporan media di Taiwan bahawa negara itu menangguhkan perbincangan pelaburan dengan Malaysia, susulan kenyataan Anwar dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos lalu.
Anwar sebaliknya berkata, kerajaan terus mengalu-alukan pelaburan Taiwan dan memudahkan urusan pelaburnya, khususnya dalam industri semikonduktor, cip, AI serta E&E.
Beliau menjawab soalan Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung laporan Taiwan menggantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataannya yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.
Anwar mengesahkan mesyuarat kerjasama ekonomi kedua-dua pihak ditangguhkan. Namun, katanya, ia membabitkan jawatankuasa kerjasama ekonomi dan bukannya rundingan diplomatik rasmi antara dua negara.
Kerajaan melalui Kementerian Luar dan Miti sudah meminta supaya mesyuarat berkenaan diteruskan bagi memastikan hubungan perdagangan serta pelaburan tidak terjejas.
Bagi tempoh Januari hingga September 2026, jumlah perdagangan Malaysia dengan Taiwan mencecah RM254.21 bilion.
Eksport melonjak 88% kepada RM116.58 bilion, manakala import meningkat 24.2% kepada RM137.63 bilion.
Pendirian dasar luar tidak berubah
Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) pula mempersoalkan keperluan mengeluarkan kenyataan tegas mengenai Taiwan, sedangkan hubungan perdagangan kedua-dua pihak berjalan baik sejak sekian lama.
Anwar mengakui nada kenyataannya lebih tegas dan mungkin tidak menyenangkan sesetengah pihak di Taiwan. Namun, beliau menegaskan pendirian Malaysia mengenai Dasar Satu China tidak pernah berubah sejak 1974.
Menurut beliau, Malaysia perlu mempertahankan prinsip dasar luar sebagai negara merdeka dan berdaulat tanpa mengabaikan kepentingan ekonomi.
Anwar memberi contoh pendirian tegas Malaysia terhadap tindakan Israel di Palestin dan Gaza yang tidak disenangi beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat. Namun, katanya, hubungan perdagangan dan pelaburan masih diteruskan.
“Setakat ini kita akan ambil apa saja langkah yang perlu untuk menentukan hubungan dagang dan pelaburan dengan Taiwan itu kekal baik,” katanya.