Puad Zarkashi mendakwa cadangan Presiden Umno, Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan berbanding merombak Kabinet mungkin berpunca daripada bimbang kehilangan portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu turut mempersoalkan sama ada menteri BN yang lain berani meletak jawatan sekiranya portfolio mereka berubah dalam rombakan Kabinet.
Puad berkata, rombakan Kabinet lebih wajar dilakukan kerana PRU16 masih jauh, berbanding membubarkan Parlimen seperti dicadangkan Zahid.
“Zahid takut kalau rombak Kabinet mungkin portfolio dia di KKDW akan bertukar.
“Bukan itu sahaja, portfolio menteri BN yang lain juga mungkin berubah,” katanya di Facebook.
Zahid lebih pilih bubar Parlimen
Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, semalam berkata pembubaran Parlimen lebih baik daripada rombakan Kabinet bagi membolehkan rakyat memberikan mandat baharu sebelum Jemaah Menteri baharu dibentuk.
Kenyataan itu dibuat susulan kekosongan jawatan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan tamatnya tempoh pelantikan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sebagai senator pada Disember ini.
Kritikan terhadap BN dan manifesto bersama PAS
Dalam pada itu, Puad turut mengkritik BN yang dilihat berpatah arang dengan Pakatan Harapan (PH) apabila menghasilkan manifesto bersama PAS pada PRN Melaka.
Katanya, PH akan dilihat tidak bermaruah jika gagal mengambil tindakan terhadap BN bagi mempertahankan prinsip tanggungjawab bersama dalam kerajaan perpaduan.
“Kerajaan perpaduan sudah tercemar baik dari segi nama atau imej jika tiada hukuman diambil,” katanya.
Rujukan kepada tindakan Mahathir pada 1987
Puad merujuk tindakan bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad pada 1987 apabila beberapa menteri dan timbalan menteri yang menyokong ‘Team B’ pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah digugurkan daripada Kabinet.
Beliau berkata, pendekatan politik segan silu sudah berakhir dan perkembangan itu sepatutnya ditangani dengan tindakan, bukan sekadar kenyataan.
“Kita tunggu, jika portfolio menteri BN kena tukar, apakah mereka berani letak jawatan?” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.