Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar, menerima beberapa jahitan di kepala selepas tergelincir dalam tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Jamawi memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook. Menurutnya, kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu orang kenamaan (VIP) lapangan terbang itu.
Katanya, lantai tandas yang licin menyebabkan beliau terjatuh sehingga kepalanya terhantuk pada lantai.
“Sebenarnya, ia kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP KLIA.
“Lantai tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhantuk pada lantai,” katanya.
Rawatan di klinik KLIA
Jamawi berkata, beberapa kenalan yang melihatnya dengan kepala berbalut tuala berdarah turut menghubunginya untuk mengetahui keadaan sebenar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat Menara Medical Clinics KLIA yang memberikan rawatan serta menjahit luka di kepalanya.
Nasihat kepada Malaysia Airports
Susulan kejadian itu, Jamawi menasihatkan Malaysia Airports supaya menambah baik keadaan lantai tandas dan laluan kecemasan ke klinik berhampiran.
Beliau turut menyarankan kakitangan lapangan terbang diberikan latihan sewajarnya bagi memastikan bantuan kecemasan dapat diberikan dengan segera.
Jamawi dijadual meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 tengah hari selepas selesai lawatan kerja di Brasilia, Brazil.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.