
Sukar dan tipis untuk melihat Barisan Nasional atau Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan pada ketika ini, kata penganalisis yang berpandangan Akmal Saleh wajar menerima realiti politik semasa.
Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, berkata Umno kini melihat kedudukannya dalam kerajaan perpaduan sebagai keperluan strategik bagi memulihkan kekuatan parti dan memastikan kestabilan politik selepas tempoh ketidaktentuan lalu.
Beliau berkata penegasan kepimpinan tertinggi Umno, termasuk kenyataan Presiden Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan melakukan tindakan menumbangkan kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan, menunjukkan komitmen jelas untuk kekal bersama kerajaan perpaduan.
Komitmen kepimpinan Umno
Mazlan berkata pendirian tersebut menjadikan cadangan Ketua Pemuda Umno supaya parti keluar kerajaan hampir mustahil untuk direalisasikan dalam situasi semasa.
Menurutnya, ketika Pemuda Umno membawa naratif keluar kerajaan melalui konvensyen yang dianjurkan, kepimpinan tertinggi jelas tidak menyokong gesaan itu dan menganggapnya sebagai pandangan peribadi Akmal.
Mazlan berkata realitinya Umno kini melihat tanggungjawab utama parti adalah membantu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil demi kepentingan negara.
Beliau menegaskan kenyataan beberapa pemimpin DAP yang sering dijadikan alasan menolak kerajaan perpaduan hanyalah pandangan individu dan tidak mewakili parti itu secara keseluruhan.
Menurutnya, perkara tersebut sekadar rencah politik dan tidak seharusnya mengganggu fokus Umno untuk terus membantu kerajaan.
Gesaan keluar kerajaan dilihat bersifat peribadi
Mazlan berkata Akmal perlu menerima hakikat bahawa usaha menghidupkan semula kerjasama seperti Muafakat Nasional dengan PAS hampir mustahil dicapai dan tidak mendapat sokongan majoriti kepimpinan tertinggi Umno.
Beliau berkata kerjasama sedemikian juga berisiko mencetuskan perebutan kerusi sesama sendiri pada pilihan raya akan datang.
Mazlan turut mempersoalkan mengapa hanya sayap Pemuda lantang membawa idea keluar kerajaan, sedangkan sayap Wanita dan Puteri tidak menunjukkan pendirian yang sama.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan gesaan berkenaan lebih bersifat peribadi dan bukan pendirian kolektif parti, sekali gus menggambarkan Akmal seolah-olah bergerak di luar arus utama Umno.
Mazlan berkata Perhimpunan Agung Umno 2025 minggu depan akan menjadi medan sebenar untuk mengukur tahap sokongan terhadap pendirian Akmal sekiranya beliau serius mahu membawa gesaan itu ke peringkat parti.
Isyarat jelas realiti politik semasa
Sementara itu, penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri, berkata Akmal wajar membaca isyarat jelas daripada kepimpinan bahawa Umno akan kekal dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata walaupun Umno menarik diri, kerajaan perpaduan masih berupaya bertahan memandangkan jumlah kerusi parti itu kecil, sekali gus menimbulkan persoalan rasional untuk keluar dan menjadi pembangkang tanpa jaminan pulangan politik.
Namun, Syaza berkata gesaan Akmal juga boleh dilihat sebagai tekanan dalaman bagi menunjukkan masih terdapat penyokong Umno yang tidak selesa bekerjasama dengan DAP.
Sementara itu, penganalisis dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan, berpandangan konvensyen yang dianjurkan Akmal Sabtu lalu lebih tertumpu kepada desakan keluar kerajaan tanpa pembentangan strategi meyakinkan untuk mengukuhkan parti.
Beliau berkata penekanan lebih diberikan kepada isu sensitif seperti kes mahkamah Najib Razak serta kedudukan Islam dan Melayu, berbanding pelan konkrit memperkukuh Umno.
Menurut Azmi, pendirian Zahid memberi isyarat jelas bahawa kerjasama dengan PAS atau Bersatu bukan strategi yang menguntungkan, termasuk risiko pertembungan kerusi.
Beliau berkata kedudukan dalam kerajaan perpaduan memberikan laluan yang lebih jelas kepada Umno untuk kembali membina kekuatan parti.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.