
Presiden MCA, Wee Ka Siong, mengkritik Kementerian Pendidikan Tinggi berhubung jawapan yang disifatkannya samar dan tidak memadai terhadap soalan beliau di Dewan Rakyat mengenai trend pengambilan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta peluasan saluran kemasukan terus ke universiti awam.
Dalam satu hantaran di Facebook, Wee berkata jawapan bertulis kementerian tersebut memerlukan penjelasan lanjut berserta data terperinci.
“Kementerian menyatakan bahawa bilangan kemasukan graduan STPM atau setaraf bagi sesi akademik 2018/2019 adalah sebanyak 4,530, manakala bagi sesi akademik 2024/2025 jumlah itu meningkat kepada 8,612, menunjukkan hampir dua kali ganda peningkatan (90.1%).
“Kenyataan bahawa tawaran kepada graduan STPM hampir berganda perlu dihuraikan secara terperinci kerana ia tidak membezakan kategori kelayakan serta program pengajian kritikal,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa data tidak diperincikan mengikut jenis kelayakan seperti yang diminta – iaitu STPM, matrikulasi dan asasi – serta mengikut program pengajian yang ditawarkan.
Wee sebelum ini meminta kementerian menjelaskan trend pengambilan pelajar melalui sistem UPUOnline, di mana bilangan pelajar STPM cemerlang yang diterima adalah jauh lebih rendah berbanding pelajar matrikulasi dan asasi sejak 2018.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai kekurangan pembiayaan kerajaan yang memaksa universiti awam menampung kekurangan tersebut melalui saluran kemasukan terus yang mengenakan yuran pengajian lebih tinggi.
Wee turut mempersoalkan penjelasan kementerian bahawa kemasukan melalui saluran terus adalah berasaskan prinsip “over and above” (tambahan) dan tidak menjejaskan pengambilan utama melalui UPUOnline.
“Jawapan ini terlalu umum dan tidak menjawab persoalan secara khusus. Berapa sebenarnya jumlah tempat yang diperuntukkan menerusi saluran terus bagi setiap sesi akademik?” soalnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan perlu menjelaskan dakwaan bahawa tiada kompromi terhadap standard kemasukan bagi saluran terus.
Wee turut membidas dakwaan kementerian bahawa saluran terus mencerminkan kebebasan kewangan universiti awam, menyifatkannya sebagai “dasar pro-elit”.
Katanya, menaikkan yuran pelajar melalui saluran terus untuk menambah hasil universiti bukanlah langkah mampan mahupun adil, dan universiti sepatutnya menumpukan usaha kepada pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menurutnya, kebimbangan awam terhadap ketelusan dan keadilan sistem pengambilan pelajar akan terus berlarutan sekiranya kementerian dan universiti awam gagal mendedahkan data kemasukan secara terperinci.
Bulan lalu, MCA menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi mengkaji semula serta mereformasi saluran kemasukan ke semua universiti awam.
Wee sebelum ini juga menegaskan bahawa beberapa universiti awam telah mengikuti langkah Universiti Malaya yang menawarkan dua pilihan kemasukan bagi pelajar ijazah sarjana muda – melalui sistem UPUOnline yang diurus kementerian, dan saluran terus sebagai alternatif.