
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu belum membincangkan kemungkinan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kembali le parti walaupun timbul spekulasi kebelakangan ini.
Beliau turut menepis dakwaan kononnya beliau dan Khairy ada membincangkan perkara itu ketika bertemu di sebuah majlis perkahwinan.
“Saya jumpa Khairy di majlis kahwin, tetapi kami tidak bincang hal itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival of Ideas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dan tiga penggal ahli Parlimen Rembau dipecat daripada Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti ketika PRU15.
Sebelum PRU15, beliau lantang mengkritik Zahid, khususnya selepas Barisan Nasional meletakkan beliau bertanding di kerusi kubu kuat Pakatan Harapan di Sungai Buloh dan beliau tewas kepada calon PKR, R Ramanan.
Selepas prestasi lemah BN pada pilihan raya umum lalu, Khairy menggesa Zahid berundur sebagai presiden Umno.
Walaupun sebelum ini beliau menyatakan tidak akan merayu pemecatannya, pada Julai lalu Khairy berkata beliau akan “fikirkan” tawaran ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh untuk membantu memudahcara kemasukannya semula.
Dalam pada itu, Zahid berkata rundingan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya negeri Sabah kini berada di peringkat akhir.
Katanya, beliau akan mengumumkan bilangan kerusi yang akan ditandingi BN apabila beliau melawat Kota Kinabalu, Sabah minggu depan.
“Saya boleh kata 95% rundingan sudah selesai,” katanya.
Pada 1 Nov, pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin berkata gabungan itu akan bertanding lebih sedikit berbanding 48 kerusi yang dirancang sebelum ini dan menggesa pimpinan menyelesaikan segera rundingan kerusi dengan PH.
Penamaan calon bagi pilihan raya itu akan diadakan pada 15 Nov, manakala pengundian pada 29 Nov.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.