
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan tindakan Bersatu yang masih mahu kekal dalam Perikatan Nasional (PN), sedangkan presidennya sendiri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini menyifatkan gabungan itu sebagai sudah rosak.
Menurut Tuan Ibrahim, pengumuman Muhyiddin mengenai pembentukan gabungan baharu sebenarnya sudah memberi isyarat jelas bahawa Bersatu tidak lagi berhasrat untuk kekal dalam PN.
“Yang kedua, Muhyiddin pun sebut dia kata PN ini sudah rosak dan dirosakkan oleh PAS. Jadi, kalau PN dah rosak, buat apa dia masuk gabungan rosak ini.
“Bila dia tuduh dan kata PN sudah rosak, memang dia tak mungkin mahu bersama lagi parti gabungan yang dianggap rosak,” katanya kepada Sinar Harian.
Muhyiddin dakwa PN sudah toksik
Muhyiddin sebelum ini, ketika melancarkan jentera pilihan raya Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, mendakwa gabungan yang diasaskannya itu telah menjadi toksik selepas terpesong daripada prinsip asal penubuhannya.
Bersatu pada masa itu bertanding di bawah lambang sendiri dalam PRN Negeri Sembilan, meskipun status keahliannya dalam PN masih dikekalkan.
Gabungan itu bertanding di 11 kerusi, manakala sekutunya, Barisan Nasional (BN) pula bertanding di 25 kerusi lain.
Kerjasama BN-PN akhirnya berjaya memenangi keseluruhan 25 kerusi, sementara baki kerusi dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).
Status keahlian Bersatu dalam PN jadi isu
Semalam, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa Bersatu masih lagi menjadi komponen gabungan tersebut, walaupun Presiden PAS, Hadi Awang sebelum ini mendakwa Bersatu secara automatik terhenti menjadi ahli PN.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz pula berkata parti itu merancang untuk memfailkan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung status sebenarnya sebagai komponen PN.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.