
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Dominic Lau, menyifatkan kritikan terhadap pemakaian tradisional beliau sebagai tidak berasas dan berunsur double-standard.
Beliau berkata, serangan seumpama itu tidak menjejaskan komitmennya untuk terus berkhidmat demi kepentingan rakyat, sambil menegaskan bahawa politik tidak seharusnya dipermainkan dengan isu remeh.
“Rakyat lebih mengambil berat tentang keadaan ekonomi, kesejahteraan hidup dan hala tuju masa depan negara. Kami kekal fokus membela rakyat dan memperjuangkan masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Pemakaian sebagai tanda hormat dan perpaduan
Terdahulu, Dominic memuat naik beberapa gambar ketika menghadiri rumah terbuka Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin, pada 21 Mac lalu.
Beliau turut meluahkan rasa kesal apabila tindakannya mengenakan pakaian tradisional Melayu lengkap bersongkok ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri itu dipersoalkan oleh segelintir pihak.
Menurutnya, pemakaian tersebut adalah sebagai tanda hormat terhadap sambutan Aidilfitri serta mencerminkan semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.
Dakwa kritikan bermotifkan serangan
Dalam masa sama, Dominic menegaskan bahawa kritikan yang diterimanya bukan berkaitan pemakaian, sebaliknya didorong usaha pihak tertentu untuk mencari kesalahan dan membangkitkan sentimen.
Beliau berpendapat situasi itu menunjukkan pihak berkenaan kekurangan hujah kukuh untuk mengkritiknya dari sudut dasar dan prinsip.
“Saya memakai pakaian tradisional Cina dipersoalkan tentang gaya. Saya memakai pakaian tradisional Melayu pula dipersoalkan tentang pendirian.
“Perkara sama apabila orang lain lakukan dianggap sebagai perpaduan budaya, tetapi apabila saya lakukan, ia dilihat bermasalah.
“Apabila kritikan beralih kepada perkara seperti apa yang dipakai, ia mencerminkan ketiadaan hujah yang lebih substantif,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.