
Pemilikan saham oleh pegawai awam bukan satu kesalahan jenayah kolar putih, sebaliknya membabitkan isu pentadbiran yang tertakluk kepada garis panduan perkhidmatan awam.
Isu pentadbiran dan pengisytiharan aset
Mengulas isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, Persatuan Bekas Pegawai SPRM (PBPSPRM) berpandangan perkara itu lebih menjurus kepada soal pengisytiharan aset serta had pemilikan saham yang ditetapkan dalam Garis Panduan Perkhidmatan Awam.
Menurut persatuan itu, pengisytiharan aset oleh pegawai awam dibuat kepada pegawai tertinggi melalui saluran rasmi kerajaan dan bukan untuk pendedahan umum.
PBPSPRM memaklumkan Azam telah menyatakan pegangan saham berkenaan sudah diisytiharkan melalui saluran rasmi dan kini telah dilupuskan.
Sehubungan itu, persatuan berkenaan berpendapat semua pihak wajar menunggu hasil siasatan panel yang telah dibentuk sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Perlu bezakan pelanggaran prosedur dan jenayah
PBPSPRM menegaskan sehingga kini tiada bukti menunjukkan Azam terbabit dalam penyalahgunaan kuasa, campur tangan dalam siasatan atau memperoleh keuntungan melalui kedudukan rasminya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Katanya, perbezaan antara pelanggaran prosedur pentadbiran dan jenayah kolar putih atau rasuah perlu difahami dengan jelas supaya tidak timbul persepsi dan hukuman yang tidak berasaskan fakta.
Konflik sebenar dan konflik persepsi
Dalam pada itu, PBPSPRM berharap masyarakat dapat membezakan antara konflik sebenar dan konflik persepsi.
Menurutnya, dalam tadbir urus moden terdapat dua kategori konflik tersebut, dan isu yang dibincangkan ketika ini lebih tertumpu kepada dimensi konflik persepsi.
Persatuan itu menegaskan bahawa walaupun persepsi penting dalam menilai integriti institusi, ia tidak boleh menggantikan bukti dalam menjatuhkan hukuman terhadap individu atau organisasi.
PBPSPRM turut melahirkan kebimbangan terhadap perbahasan berlebihan mengenai isu saham berkenaan yang dikhuatiri boleh memberi kesan jangka panjang kepada kredibiliti negara, khususnya apabila melibatkan institusi penting seperti SPRM yang dipertanggungjawabkan membanteras rasuah dalam sektor awam dan swasta.
Sehubungan itu, persatuan berkenaan menyeru pendekatan matang dalam kalangan masyarakat dengan menyokong siasatan bebas serta menghormati proses yang dijalankan panel berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.
Katanya, semua pihak juga perlu mengelakkan daripada membuat kesimpulan awal yang boleh menjurus kepada hukuman tanpa asas kukuh.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.