
UMNO yakin tidak menghadapi masalah untuk mencari calon sesuai bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO, Ahmad Maslan, berkata parti tersebut mempunyai ramai tokoh yang berkelayakan serta diterima oleh masyarakat setempat untuk diketengahkan sebagai calon.
“Kita tidak kekurangan calon. Yang penting jentera pilihan raya hendaklah berpadu menerima siapa sahaja calon yang ditampilkan. Jentera dan calon adalah syarat penting untuk kemenangan.
“Calon yang ditampilkan perlu memiliki ciri-ciri ‘wali’ — iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), anak tempatan dan diterima rakyat. Saya yakin UMNO akan menjadi magnet dalam pilihan raya ini,” katanya.
Ahmad, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Parlimen Pontian, ditemui selepas menyaksikan tayangan skrin perlawanan Liga Super antara pasukan JDT dan Sabah di Kampung Jawa Ulu, Ayer Baloi pada malam Ahad.
Beliau menambah bahawa pemilihan calon akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti dan 26 Ketua UMNO Bahagian di Sabah diberi ruang untuk mencadangkan calon masing-masing.
“Tentunya calon-calon yang akan dipilih merupakan anak tempatan yang berupaya memenangi kerusi yang akan ditandingi kelak. Belum ada keputusan muktamad mengenai kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh UMNO kerana DUN Sabah belum lagi dibubarkan. Kita tunggu sahaja pengumuman yang akan dibuat kelak.
“Namun, jentera pilihan raya di Sabah sudah boleh merangka gerak kerja masing-masing bagi memastikan segala persiapan telah diatur dan berjalan lancar menjelang hari penamaan calon,” jelasnya.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan sebelum ia terbubar secara automatik bagi memberi laluan kepada PRN ke-17 yang dijangka berlangsung pada tahun ini. Ketua Menteri, Hajiji Noor, dilaporkan berkata keputusan itu perlu dibuat memandangkan tempoh penggal DUN akan berakhir pada November ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengumuman rasmi mengenai pembubaran DUN akan dibuat tidak lama lagi dan meminta semua pihak bersabar.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.