
Kelantan merekodkan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah ketiga tertinggi di negara ini selepas Terengganu dan Perlis, berdasarkan nisbah per 100,000 penduduk.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ruslin Jusoh, berkata negeri itu merekodkan 11,280 penagih dadah sehingga Mac lalu, dengan kadar 597 kes per 100,000 penduduk.
“Kelantan berada di kedudukan ketiga tertinggi selepas Terengganu yang merekodkan 663 kes dan Perlis dengan 609 kes. Negeri Kedah pula mencatat 553 kes manakala Pahang 495 kes, masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah AADK Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, di sini, hari ini.
Penurunan 5.4 Peratus
Menurut Ruslin, statistik semasa menunjukkan penurunan 5.4 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Walaupun masih tinggi, data ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya,” jelasnya.
ATS Kekal Dadah Paling Tinggi Disalahguna
Berdasarkan laporan AADK bagi Januari hingga Mac, dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) — khususnya pil kuda — kekal paling banyak disalahgunakan di Kelantan, melibatkan 10,071 individu atau 89.3 peratus daripada keseluruhan kes.
Penggunaan dadah jenis opiat mencatat 766 kes, diikuti pil psikotropik (277 kes) dan ganja (41 kes). Selain itu, kategori bahan ketagihan lain turut mencatat 277 kes.
“Statistik dadah di beberapa negeri, termasuk Kelantan, kekal tinggi kerana kedudukannya yang bersempadan dengan negara jiran,” tambah beliau.