Setiausaha Agung BERSATU, Mohamed Azmin Ali, tidak menolak kemungkinan wujudnya persefahaman yang lebih terbuka antara parti itu dan Pakatan Harapan (PH) pada penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16. Langkah itu dilihat sebagai senjata akhir untuk menarik sokongan pengundi.
Menurutnya, perkara itu mungkin dinilai nanti jika kedua-dua parti menganggapnya strategi terbaik. Namun, setakat ini tiada sebarang pendirian rasmi mengenai kerjasama itu di Melaka.
Beliau turut mengakui dalam konteks yang lebih menyeluruh, BERSATU tidak boleh bergerak sendirian dalam pentas pilihan raya dan politik. Sebaliknya, parti itu perlu bekerjasama bagi mewujudkan kestabilan.
“Kita tidak dapat menentukan apa yang akan berlaku di penghujung tempoh berkempen. Namun pengalaman saya dalam banyak pilihan raya, di penghujung tempoh berkempen ini biasanya pengundi sudah pun mengambil pendirian, setelah mereka menilai manifesto ataupun tawaran dibuat calon.
“Maka pada saat-saat akhir itu, saya kira mereka sudah ada pendirian cuma parti politik biasanya menggunakan kesempatan itu untuk menzahirkan satu persepsi yang lebih positif.
“Kalau itulah strategi terbaik, kita mungkin dapat menilai pada masa berkenaan. Pada ketika ini, setiap calon dan parti BERSATU sedang giat berkempen di setiap daerah mengundi dan lokaliti,” katanya dalam temu bual bersama BH, di sini.
BERSATU tanding tujuh kerusi
Pada PRN Melaka ke-16, BERSATU meletakkan calon di tujuh kerusi iaitu Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh dan Bemban.
Azmin berkata, walaupun tidak membentuk sebarang gabungan di Melaka dengan mana-mana parti, BERSATU mempunyai persefahaman sebelum menetapkan jumlah kerusi yang ingin ditandingi. Menurutnya, persefahaman itu mampu menyumbang kepada kestabilan negeri dan menyatukan rakyat di Melaka.
“Jadi dalam konteks ini, BERSATU juga mengambil pendirian setelah kita teliti dan bincang, kita bersetuju bahawa BERSATU tidak boleh bersendirian.
“BERSATU mesti bergerak dengan satu kerjasama politik ataupun gabungan yang dapat menjamin kestabilan bagi negeri dan juga negara.
“Bagi PRN Melaka, kita belum bergabung ataupun mempunyai apa ini gabungan dengan mana-mana parti tetapi sudah tentulah kita ada persefahaman bagi menentukan kerusi ditandingi,” katanya.
Terbuka terima sokongan PH
Azmin, yang juga bekas Menteri Besar Selangor, berkata BERSATU terbuka menerima sokongan PH pada tujuh kerusi yang ditandingi parti itu. Namun, kedua-dua parti belum mengisytiharkan sebarang bentuk kerjasama secara rasmi bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
Serah 21 kerusi kepada kebijaksanaan ahli
Bagi 21 kerusi yang tidak ditandingi BERSATU, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli parti untuk menentukan calon di luar parti yang wajar disokong. Pertimbangannya berdasarkan kemampuan mereka menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya mengutamakan calon yang mewakili parti sederhana dan progresif sebelum mengundi 21 calon di luar BERSATU pada 14 November ini.
“Ia tergantung kepada kebijaksanaan pengundi di Melaka. Saya sudah tegaskan saya yakin dengan kebijaksanaan anak muda di Melaka.
“Jadi kita hanya tumpu pada tujuh kerusi, yang lain kita serahlah kepada kebijaksanaan parti politik untuk menentukan kemenangan masing-masing,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.