Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sepakat mencalonkan Ab Rauf Yusoh untuk kekal sebagai ketua menteri Melaka, selepas kedua-dua gabungan itu secara tidak rasmi meraih kemenangan besar pada PRN.
Pengerusi BN, Zahid Hamidi, berkata watikah pencalonan Rauf akan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka malam ini.
“Maka dengan ini saya mengumumkan bahawa BN dan PN mencalonkan Ab Rauf Yusoh sebagai calon ketua menteri Melaka,” katanya pada sidang media.
Pengumuman itu menyusul keputusan tidak rasmi yang menunjukkan gabungan BN-PN menguasai 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka. Ia sekali gus memberi majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.
“Gelombang biru” bermula dari Johor
Zahid turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Melaka, khususnya pengundi yang memberikan mandat kepada BN bersama PN selaku rakan strategik baharunya untuk menerajui kerajaan negeri.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai kesinambungan momentum ‘gelombang biru’ yang bermula pada PRN Johor, diikuti Negeri Sembilan dan kini Melaka.
“Alhamdulillah, kemenangan tiga kali berturut-turut ini bukan alasan untuk kita semua bermegah, tetapi perlu diterima dengan penuh kesyukuran, rendah hati dan keinsafan,” katanya.
Tekad tunaikan janji manifesto
Zahid berkata, BN dan PN menyedari amanah besar yang diberikan rakyat dan bertekad menunaikan segala janji dalam manifesto pilihan raya. Kedua-dua gabungan itu juga akan memberikan perkhidmatan terbaik tanpa mengira kaum dan agama.
Menurutnya, kemenangan itu turut memperlihatkan persefahaman politik serta keikhlasan kerjasama antara BN dan PN semakin kukuh dan diterima rakyat.
Beliau yakin semangat kebersamaan itu akan terus diperkukuh bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih stabil.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.