DAP menegaskan tiada keperluan untuk Parlimen dibubarkan ketika ini selagi kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Pendirian itu dibuat susulan desakan beberapa pihak supaya Parlimen segera dibubarkan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Dalam PRN itu, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) meraih kemenangan besar dengan 24 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh empat kerusi.
Pembubaran prerogatif Perdana Menteri
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata kuasa membubarkan Parlimen terletak pada Perdana Menteri selaras peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada sebab untuk tunduk kepada mana-mana tekanan.
“Memang ada sorakan (untuk bubar) dan sebagainya.
“Sudah tentu kita tahu akan ada tekanan yang cuba dibawa supaya Perdana Menteri membubarkan Parlimen.
“Ingin saya tegaskan bahawa perkara pertama, itu adalah prerogatif Perdana Menteri.
“Sudah tentu Perdana Menteri mempunyai pertimbangan untuk menentukan bila pilihan raya hendak diadakan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi saya rasa pada ketika ini tempoh mandat kerajaan masih berbaki setahun lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor di sini, hari ini. Turut hadir Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching.
Fokus laksana agenda reformasi
Loke berkata, pendirian DAP dalam PH jelas, iaitu mahu Perdana Menteri memanfaatkan tempoh setahun itu untuk melaksanakan agenda reformasi.
Katanya, ia termasuk beberapa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan serta penggubalan undang-undang baharu bagi memperkukuh tatakelola dan pengurusan kewangan negara.
“Perdana Menteri seharusnya memberi tumpuan kepada pelaksanaan kerja-kerja terbabit dan bukannya tunduk kepada mana-mana tekanan untuk membubarkan Parlimen,” katanya.
Empat pilihan UMNO
Baru-baru ini, UMNO mengemukakan empat pilihan kepada DAP, termasuk kemungkinan pembubaran Parlimen susulan ketidakpuasan hati DAP berhubung perkembangan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Ketua Penerangan UMNO, Azalina Othman Said, dilapor berkata pilihan berkenaan merangkumi mendapatkan pengantaraan menerusi Majlis Perundingan, membenarkan aturan sedia ada diteruskan, mengkaji semula Perenggan C Perjanjian Gabungan, atau menamatkan kerjasama politik menerusi pembubaran Parlimen.
Menurutnya, Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dimeterai pada 16 Disember 2022 tidak memperuntukkan klausa penamatan sebelum berakhirnya penggal Parlimen ke-15.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.