Parti Bersama Malaysia (Bersama) menolak ‘politik identiti’ yang dibawa Umno dan PAS serta pendekatan Pakatan Harapan (PH) ketika ini, yang didakwa secara tidak langsung menjadi pencetus kepada pengukuhan politik identiti kedua-dua parti berkenaan.
Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, berkata politik identiti di Malaysia ketika ini semakin ‘membara’ apabila pengundi Melayu bersatu di bawah payung Umno dan PAS, manakala pengundi bukan Melayu pula bergabung di bawah DAP.
“Umno dan PAS memerlukan DAP untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu, manakala DAP memerlukan Umno dan PAS untuk menjadi pembela kepada pengundi bukan Melayu,” dakwanya dalam satu perkongsian video melalui media sosial, malam tadi.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu mendakwa, meskipun Umno, PAS dan DAP sedang ‘menunggang’ gelombang politik identiti berkenaan, Bersama tidak gentar melawan mereka dalam spektrum politik masing-masing.
Strategi Bersama
“Kepada mereka yang mempersoalkan strategi Bersama, kita tahu ia misi yang berbahaya tetapi kita juga yakin ia adalah satu keperluan untuk masyarakat.
“Kami bukanlah Umno dan PAS yang menjadikan DAP musuh utama tetapi tidak pernah berani berdepan dengan DAP di kubu kuat mereka.
“Begitu juga DAP yang menjadikan Umno dan PAS sebagai musuh utama tetapi menghantar PKR serta AMANAH untuk berdepan parti berkenaan.
“Kami percaya untuk melawan politik identiti di kedua-dua spektrum, kami perlu berani bermula dengan membina kekuatan sedikit demi sedikit bagi memadamkan api besar politik identiti ini,” katanya.
Rafizi turut mendakwa parti politik lain, termasuk PKR, AMANAH dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), sebenarnya hanya menumpang kepada kekuatan politik identiti, iaitu kelompok Melayu serta bukan Melayu.
“Lebih kuat pengundi Melayu bergabung di bawah Umno dan PAS, maka lebih tegar pengundi bukan Melayu akan menguatkan DAP.
“Ini menghasilkan kitaran yang semakin menjauhkan sesama kita pada masa akan datang,” katanya.
Kitaran politik dan skandal
Beliau mendakwa bahawa kitaran politik yang memberi kuasa terlalu kuat kepada politik identiti sedemikian juga menjadi punca kepada skandal besar negara sebelum ini.
“Semua skandal besar negara berlaku selepas Umno menang dalam pilihan raya. Nampaknya, kitaran ini akan berulang kembali.
“Pada peringkat permulaan ini, Bersama tidak pernah bermimpi untuk membentuk kerajaan atau menang besar dalam pilihan raya.
“Kami bukan PKR yang ditubuhkan untuk menjadi ‘lebuh raya’ mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, atau AMANAH sebagai landasan kepada bekas pimpinan PAS atau Bersatu, Wawasan serta parti politik lain yang sibuk mencari rakan kerjasama ke Putrajaya tanpa membina kekuatan sendiri terlebih dahulu,” dakwanya lagi.
Sebaliknya, Rafizi menegaskan Bersama diwujudkan untuk menjadi ‘pendinding’ kepada ‘api’ politik identiti itu, yang didakwa mengajar rakyat menerima rasuah, kelemahan pentadbiran, politik persembahan, dan seterusnya merendahkan standard ukuran politik sepatutnya.
Keputusan PRN Melaka
Terdahulu, media melaporkan seorang daripada 16 calon Bersama yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu, berjaya mengekalkan wang deposit, manakala 15 lagi kehilangan deposit selepas gagal memperoleh jumlah minimum undi yang ditetapkan.
Calon Bersama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Muhammad Solehin Saleh, memperoleh 4,140 undi, sekali gus menjadi satu-satunya calon parti itu yang berjaya mengekalkan wang deposit.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.