
Perkhidmatan Aerotrain di KLIA yang baru dilancarkan semula mengalami kerosakan sekali lagi pada malam Sabtu, 13 Julai lalu, menyebabkan penumpang terpaksa turun dari tren dan berjalan kaki ke bangunan satelit.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan pada Ahad (14 Julai) memohon maaf atas kejadian yang berlaku pada jam 10.57 malam.
“Sebuah tren yang dalam perjalanan dari Bangunan Terminal Utama (MTB) ke Bangunan Satelit terhenti sebelum pintu platform akibat ‘breaker trip’ di pencawang MTB.
“Penumpang dikeluarkan melalui pintu kecemasan tren dan dibawa ke bangunan satelit dengan selamat oleh kakitangan kami,” menurut kenyataan itu.
MAHB menjelaskan bahawa tren kedua masih beroperasi seperti biasa dan pergerakan penumpang antara terminal tidak terganggu sepenuhnya.
Mengikut laporan The Star, pada jam 4 pagi Ahad mendapati dua daripada tiga tren beroperasi secara normal, tanpa keperluan menggunakan bas ulang-alik yang telah disediakan sejak 1 Julai.
Sebelum ini, pada 4 Julai, perkhidmatan aerotrain turut tergendala selama sejam akibat takungan air di laluan bawah tanah. Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjelaskan bahawa puncanya ialah kegagalan pam air dan bukan masalah pada sistem tren.