
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyeru pihak berkuasa menyiasat kesahihan dokumen yang didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular di media sosial.
Beliau menegaskan, jika dokumen itu sahih dan diklasifikasikan sebagai rahsia, penyebarannya boleh melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
“Saya dimaklumkan satu laporan polis telah dibuat. Saya tidak dapat sahkan kesahihannya. Tetapi jika ia sahih dan tergolong sebagai rahsia rasmi, maka akta itu terpakai. Kita perlu berhati-hati dan jangan sebarkan dokumen sebegini,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan program YOU & AI: MEET@BANGSAR anjuran Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) hari ini.
Dokumen yang dikatakan minit mesyuarat JAC pada Mei lalu itu mula tersebar semalam, dipercayai bermula di Reddit sebelum beralih ke Facebook dan platform X.
Fahmi turut mengingatkan pengamal media agar sentiasa peka dan mematuhi undang-undang sedia ada semasa membuat liputan isu sensitif.
Ketika ditanya sama ada perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, beliau berkata keputusan itu diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mengenai tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fahmi menjelaskan ia bergantung kepada aduan awam, dan keputusan untuk memadam kandungan bergantung kepada polisi platform berkenaan.