
Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, bimbang teguran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, terhadapnya dan bekas exco dibuat berdasarkan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan mereka dalam kemelut institusi diraja negeri itu.
Ismail berkata, beliau dan bekas exco tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
“Saya menghormati keprihatinan perdana menteri terhadap institusi diraja, namun saya khuatir teguran tersebut berasaskan gambaran yang tidak lengkap dan tanggapan sebenar menteri besar dan bekas exco dalam perkara ini.
“(Bekas) ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat,” katanya pada sidang media.
Anwar bidas Ismail dan bekas exco
Semalam, Anwar membidas Ismail dan bekas exco Negeri Sembilan atas tindakan mereka berkaitan institusi raja.
Anwar berkata, Ismail dan individu terlibat lain tidak mempunyai mandat untuk mempertikai kedudukan raja. Beliau turut membantah keras ‘langkah biadab’ mereka.
Tidak campur tangan proses adat dan siasatan
Dalam pada itu, Ismail berkata beliau dan barisan bekas exco tidak akan mencampuri siasatan, pertimbangan adat atau proses pemilihan yang terletak dalam bidang kuasa pihak yang ditentukan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Menurutnya, kerajaan negeri menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak akan mengambil tindakan yang bercanggah dengan keputusan mahkamah.
“Segala persoalan mengenai kesahihan proklamasi, pematuhan tatacara dan kesan perlembagaannya hendaklah ditentukan menurut undang-undang tubuh tersebut serta proses undang-undang yang berkenaan.
“Kami menghormati apa-apa perintah mahkamah,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.