
Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, meminta arahan yang menghalang bekas exco kerajaan negeri memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri, Seremban, dinilai semula dengan segera.
Beliau dimaklumkan terdapat perintah larangan atau arahan yang menyebabkan exco yang dipecat tidak boleh memasuki pejabat mereka sejak semalam.
“Saya dimaklumkan ada perintah larangan atau arahan exco dihalang masuk pejabat masing-masing.
“Saya difahamkan bukan setakat tidak boleh memasuki pejabat exco di Wisma Negeri, tetapi tidak boleh menjalankan tugas-tugas sebagai exco,” katanya dalam sidang media di Seremban.
Minta arahan dinilai semula
Ismail memohon pihak berkuasa terlibat menilai semula arahan itu, dengan mengambil kira pertikaian berhubung perkara berkenaan masih belum dimuktamadkan.
Katanya, tindakan tersebut juga perlu mengambil kira keperluan memastikan urusan rakyat serta pentadbiran negeri tidak terganggu.
Beliau menegaskan permohonan itu dibuat menerusi saluran yang tertib dan tidak bertujuan menghalang pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab berkaitan aspek keselamatan.
Ismail turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada kerajaan negeri dan proses perundangan untuk berjalan.
Pembatalan pelantikan dipertikai
Pada Ahad lalu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membatalkan pelantikan exco negeri berkuat kuasa serta-merta kerana mereka melanggar sumpah jawatan.
Bagaimanapun, pada Isnin lalu, Ismail berkata tindakan Tuanku Muhriz itu tidak berpelembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang kerana dibuat tanpa nasihat menteri besar.
Menurutnya, beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana exco kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.