
Empat Undang Negeri Sembilan, termasuk tiga yang pelantikannya dipertikaikan, serta Tunku Besar Tampin menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak campur tangan dalam urusan negeri. Mereka menegaskan perkara itu khususnya berkaitan bidang kuasa perlembagaan mereka.
Pada sidang media di Seremban hari ini, mereka menegaskan Perkara 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memberikan mereka kuasa eksklusif untuk memilih dan menurunkan pemerintah negeri.
Mereka turut memberi amaran kepada Anwar supaya tidak mengambil sebarang tindakan melalui agensi kerajaan persekutuan yang boleh menjejaskan pentadbiran negeri.
Amaran kepada Anwar dan pihak luar
“Janganlah bertindak lebih sudu daripada kuah dan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Janganlah menimbulkan huru-hara di dalam negeri kami melalui agensi kerajaan Persekutuan yang menyebabkan lumpuhnya pentadbiran eksekutif kerajaan negeri.
“Janganlah semata-mata kerana laba dan pengaruh politik atau tunduk kepada tekanan pihak tertentu, sanggup melakukan apa sahaja tanpa menggunakan akal dan hati nurai, malah tidak segan silu melanggar prinsip keluhuran perlembagaan.
“Jangan bertindak melampaui kuasa dan campur tangan dalam perkara yang bukan urusan anda,” kata mereka.
Menurut mereka, sebarang tindakan tidak berperlembagaan sedemikian akan menjadi pelanggaran sumpah jawatan Perdana Menteri di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan. Ia turut melanggar amanah di bawah Perkara 71(1) dan (2) serta konsep federalisme.
Mereka juga memberi amaran kepada pihak luar, khususnya parti pembangkang, supaya tidak “menangguk di air keruh” dan “memutarbelitkan fakta” dengan mengeluarkan kenyataan jelek terhadap kerajaan negeri dan institusi adat.
“Tiada mana-mana parti politik yang mempunyai kuasa menurunkan mana-mana raja,” kata mereka. “Kuasa itu diperuntukkan semata-mata kepada punca kuasa yang sah, dan dalam konteks Negeri Sembilan, ia adalah kuasa Undang Yang Empat.”
Mereka berkata, adat Negeri Sembilan telah diamalkan lebih 500 tahun. Sebagai ketua adat, merekalah yang paling memahami adat berkenaan.
“Hanya jauhari mengenal manikam,” kata mereka.
Tolak dakwaan fitnah terhadap Ismail dan exco
Undang Yang Empat turut menegaskan bahawa kuasa mereka memilih dan menurunkan Yang Dipertuan Besar merupakan hak istimewa berdasarkan adat. Hak itu termaktub dalam Artikel 7, 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Mereka menolak dakwaan bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilakukan oleh Menteri Besar, Ismail Lasim, dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco). Dakwaan itu disifatkan sebagai “fitnah jahat” yang direka demi kepentingan peribadi kumpulan tertentu.
Menurut mereka, Menteri Besar dan exco hanya menjalankan tanggungjawab perlembagaan untuk mematuhi keputusan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10.
Kenyataan itu dikeluarkan Undang Johol, Muhammed Abdullah, bersama Mubarak Thahak, Maarof Mat Rashad dan Abdul Rahim Yasin. Kedudukan tiga orang yang disebut terakhir sebagai Undang Sungai Ujong, Jelebu dan Rembau turut dipertikaikan.
Kronologi kemelut adat Negeri Sembilan
Rabu lalu, Anwar mengkritik Ismail dan bekas anggota exco berhubung beberapa perkara melibatkan institusi diraja yang mencetuskan kontroversi di negeri itu.
Pada 16 September, exco mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar pada April adalah sah, dengan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu Negeri Sembilan. Ismail menyokong kenyataan itu keesokan harinya.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang negeri berkata keputusan exco itu tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang, dan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar yang sah.
Pada 17 September, AGC menolak proklamasi yang didakwa bertujuan menurunkan takhta Tuanku Muhriz, selain pengumuman susulan exco yang mengesahkannya. AGC berkata, proklamasi itu tidak sah dan Menteri Besar serta anggota exco ketika itu tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk memecat pemerintah negeri.
Pada 20 September, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota exco dengan alasan mereka melanggar sumpah jawatan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.