
Pimpinan tertinggi Perikatan Nasional memohon pertemuan dengan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia susulan keputusan menggantung semua aktiviti gabungan itu.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata gabungan itu kini di peringkat akhir menyiapkan penjelasan rasmi berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu. Penjelasan itu dijangka diserahkan dalam tempoh dua minggu.
“Semalam, pimpinan PN juga menghantar surat memohon pertemuan khas dengan ketua pengarah JPPM bagi mendapatkan penjelasan mengenai keadaan itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
PN akui mungkin dibatalkan jika penjelasan tak memuaskan
Takiyuddin berkata pihaknya tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku selepas penjelasan itu diserahkan. Beliau turut mengakui kemungkinan pendaftaran gabungan berkenaan dibatalkan sekiranya keadaan tidak berpihak kepada mereka.
“Kalau penjelasan kita memuaskan JPPM, mungkin kita tidak dibatalkan pendaftaran. Kalau tidak memuaskan, mungkin kita dibatalkan. Itu sahaja,” katanya.
Menariknya, Takiyuddin yang turut memegang jawatan setiausaha agung PAS sekali lagi mempersoalkan masa penggantungan itu dibuat. Menurutnya, tindakan itu berlaku pada hari yang sama Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri.
Penggantungan bukan bermaksud dibatalkan, kata JPPM
JPPM menggantung semua aktiviti PN pada Rabu lalu, sehari selepas mengeluarkan notis tunjuk sebab susulan aduan yang dikemukakan Bersatu.
Jabatan itu sebelum ini menjelaskan penggantungan berkenaan bertujuan melindungi kepentingan pertubuhan, dan ia tidak bermaksud pendaftaran PN sudah dibatalkan sepenuhnya.
Sebelum ini, Takiyuddin turut mendakwa kemungkinan wujud tekanan politik di sebalik tindakan yang diambil terhadap PN.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.