
Penganalisis politik, Ong Kian Ming, meramalkan Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi, akan menjadi perdana menteri sekiranya BN dan Perikatan Nasional membentuk pakatan serta berjaya memenangi PRU16.
Bekas pemimpin DAP itu berkata, PAS mungkin memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN. Namun begitu, beliau menjangkakan Zahid akan tetap mendapat sokongan parti dari Sabah dan Sarawak untuk menyandang jawatan tertinggi itu.
“Saya rasa naratif penyatuan ummah dan penyatuan Melayu-Islam ini adalah satu naratif yang akan membolehkan gelombang biru menjadi satu realiti pada PRU16.
“BN dan PN akan memenangi lebih daripada 112 kerusi Parlimen di Semenanjung dan mereka akan membentuk kerajaan bersama Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah. Pada masa sama, Zahid akan menjadi perdana menteri ke-11,” katanya menurut Sinar Harian.
Zahid dilihat berpeluang cerah berbanding pemimpin lain
Bekas Ahli Parlimen itu turut mengimbas kembali peristiwa Naib Presiden Umno ketika itu, Ismail Sabri Yaakob, dilantik perdana menteri pada Ogos 2021. Ketika itu, timbul isu hierarki kepimpinan di mana presiden Umno dilihat boleh mengatasi kuasa perdana menteri.
Disebabkan kecenderungan untuk mengelakkan isu sedemikian berulang, Ong berkata, Zahid sebenarnya mempunyai peluang lebih cerah untuk menjadi perdana menteri berbanding pemimpin Umno lain.
Beliau turut meramalkan Pakatan Harapan akan kembali ke blok pembangkang, dengan hanya mampu mempertahankan kira-kira 40 hingga 50 kerusi Parlimen sahaja. Malah, kerajaan Selangor yang dipegang PH sejak 2008 juga berkemungkinan turut jatuh.
Ketika ini, PH memiliki 76 kerusi Parlimen.
Umno mungkin tak pertahan semua 21 kerusi di Melaka
Ong turut meramalkan BN tidak akan bertanding di semua 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN Melaka lalu. Ini walaupun sebelum ini pihak BN sendiri menyuarakan hasrat untuk mempertahankan semua kerusi terbabit.
Sebaliknya, beliau menjangkakan BN akan menyerahkan sekurang-kurangnya empat kerusi kepada PN. Ini sebagai pertukaran bagi beberapa kerusi yang kini dipegang PAS di kubu kuat parti itu di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
“Namun, antara kekangan terbesar ialah jika berlaku ketidaksefahaman dalam pengagihan kerusi, termasuk sekiranya PN mahukan lebih banyak kerusi, tetapi BN tidak bersetuju,” katanya.
Beliau juga tidak menjangkakan BN akan mendapat sokongan mencukupi untuk mendesak PRU16 diadakan ketika ini. Walaupun begitu, mungkin ada perkembangan baharu selepas pembentangan Belanjawan 2027 bulan depan.
“Pada masa itu, GPS dan GRS mungkin lebih terbuka menerima tawaran kerjasama daripada BN. Sekiranya senario itu berlaku dan sokongan terhadap kerajaan perpaduan berubah, ia boleh membawa kepada pembubaran Parlimen dan PRU16,” katanya.
BN sebelum ini mendesak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengadakan PRU16 lebih awal, khasnya selepas hubungan dengan PH menjadi keruh susulan pertembungan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
PN, yang membantu BN mendapat majoriti dua pertiga di DUN Negeri Sembilan pada PRN 1 Ogos lalu, turut menyokong desakan untuk mengadakan PRU mengejut. Namun, Anwar menolak desakan itu dengan menegaskan kerajaan kekal stabil dan keutamaan segera ialah meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menguruskan ekonomi negara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.