
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengumumkan rancangan untuk melarang pemakaian burqa dan niqab di sekolah negara itu. Cadangan ini muncul ketika isu imigresen dijangka menjadi salah satu fokus utama menjelang pilihan raya umum 2027.
Meloni membuat pengumuman itu ketika berucap pada perhimpunan sayap pemuda parti Brothers of Italy (FdI) di Rom pada Ahad lalu.
Bahasa dan budaya jadi syarat
Selain isu pemakaian, kerajaan turut mahu menetapkan had jumlah pelajar asing dalam setiap kelas. Ibu bapa kepada pelajar asing yang menghadapi masalah serius untuk menyesuaikan diri dengan sistem sekolah juga bakal diwajibkan mempelajari bahasa Itali.
“Bagi kami, sesiapa yang datang ke Itali dan mahu membina masa depan di sini perlu mempelajari bahasa kami, memahami budaya kami dan menghormati peraturan kami,” katanya.
Menurut Meloni, pendekatan sebegini dilihat sebagai cara yang serius untuk menerima pendatang ke dalam masyarakat Itali, bukan sekadar membuka pintu tanpa syarat.
Cadangan tersebut dijangka dibawa ke Majlis Menteri terlebih dahulu sebelum melalui proses di Parlimen. Jika diluluskan peringkat kerajaan, langkah ini masih perlu mendapat kelulusan Parlimen dalam tempoh yang ditetapkan sebelum boleh dikuatkuasakan.
Ketika ini, burqa dan niqab sebenarnya tidak dilarang secara khusus di Itali. Cuma undang-undang sejak 1975 melarang penggunaan pakaian atau penutup yang menyukarkan proses mengenal pasti seseorang tanpa alasan munasabah.
Keputusan mahkamah pada 2008 pula menjelaskan penutup muka penuh atas sebab agama atau budaya boleh digunakan, dengan syarat wajah didedahkan semasa pemeriksaan identiti dilakukan.
Had pelajar asing sudah wujud, tapi sukar dikuatkuasa
Meloni turut menegaskan kerajaan mahu menetapkan had sah bagi jumlah pelajar asing dalam setiap kelas.
Sebenarnya, had 30 peratus pelajar asing bagi setiap kelas dan sekolah sudah pun wujud menerusi dasar pendidikan sedia ada. Cuma pelaksanaannya dilaporkan berdepan pelbagai kesukaran di lapangan.
Presiden Persatuan Pengetua Kebangsaan Itali, Antonello Giannelli berkata, cadangan mengehadkan bilangan pelajar asing mungkin ada asasnya dari sudut pendidikan. Namun begitu, katanya, ia sukar dilaksanakan terutama di kawasan yang mempunyai populasi pendatang yang tinggi.
Pelajar asing kini membentuk kira-kira 12 peratus daripada keseluruhan enrolmen sekolah di seluruh Itali.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.