
Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan hari ini menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara pada mesyuarat khas MMKN hari ini.
Susulan penggantungan tersebut, Pegawai Kewangan Negeri, Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri. Beliau akan memegang tugas itu sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Tugas memberikan nasihat perundangan pula akan dilaksanakan oleh Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara, sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara.
Notis akan dimaklumkan ke peringkat persekutuan
Notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Seterusnya, notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri pula akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Saya juga mengesahkan bahawa semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) adalah masih kekal dan sah.
“Pada masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Krisis berlarutan sejak Undang turunkan Tuanku Muhriz
Krisis Negeri Sembilan berlarutan sejak April lalu, yang menyaksikan Undang Yang Empat mengumumkan proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Undang Yang Empat kemudiannya memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Semalam, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) kerajaan negeri, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati semua EXCO terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka. Beliau berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang EXCO kerajaan negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, Ismail pula mendakwa tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO kerajaan negeri yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan. Katanya, tindakan itu turut tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
Menteri Besar turut mendakwa, beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa memberi nasihat berkenaan pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.