
Tindakan menurunkan Raja bukanlah perkara kecil, kerana ia membabitkan asas negara termasuk sistem Raja Berperlembagaan.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, percubaan gabungan UMNO, Pas, Wawasan dan MCA untuk menurunkan salah seorang daripada sembilan Raja-raja Melayu daripada takhtanya, akhirnya gagal.
Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar membabitkan Negeri Sembilan semata-mata, sebaliknya mempunyai implikasi yang jauh lebih besar terhadap sistem pemerintahan negara secara keseluruhan.
“Menurunkan Raja Melayu dari singgahsana bukan perkara kecil. Bukan perkara picisan. Implikasinya besar. Kalaupun boleh dibuat, mesti ikut jalur hukumnya. Raja Melayu ada wewenang.
“Yang memegang jawatan eksekutif tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya. Sebab itu tindakan MMK Negeri Sembilan tempoh hari amat gopoh dan tidak cermat.
“Malahan mereka menolak pandangan undang-undang Pejabat Peguam Negara, hingga SUK sendiri tidak mahu mewartakan proklamasi tersebut. Nah, sekarang terima padahnya,” katanya dalam hantaran di platform Threads pada Isnin.
Pelantikan Exco dibatalkan serta-merta
Sebelum ini, Syahredzan turut memuat naik tangkap layar berita bahawa Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Exco Kerajaan Negeri Sembilan serta-merta.
Pada Ahad, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Isu perlu dilihat secara lebih luas
Justeru, Syahredzan berkata, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, kerana ia melibatkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi sebahagian daripada asas sistem pemerintahan negara.
“Ini tentang mempertahankan asas-asas negara, termasuk sistem raja berperlembagaan. Rakyat Malaysia ada hak bersuara dalam hal ini, ada pihak yang kucar-kacirkan salah satu negeri dalam Malaysia,” ujarnya lagi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.