
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi menafikan beliau mendapat perkenan untuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan semalam.
Zahid berkata, beliau dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim tidak pernah menerima sebarang titah untuk menghadap Tuanku Muhriz. Malah katanya, mereka hanya mengetahui perkembangan itu menerusi laporan media semata-mata.
Semalam, Bernama melaporkan beberapa buah kenderaan, termasuk sebuah yang membawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tiba di Istana Negeri Sembilan bagi menghadap Tuanku Muhriz.
Pertemuan itu berlangsung di tengah-tengah pertikaian mengenai krisis yang melanda negeri berkenaan. Bernama turut melaporkan bahawa Zahid dan Ismail juga dijangka mendapat perkenan untuk menghadap.
“Saya tak ada. Saya dan menteri besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk menghadap,” kata Zahid hari ini ketika ditanya mengenai pertemuan tersebut.
“Kami tahu hanya daripada media saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis University Research and Innovation Investment Summit 2026.
Zahid serah kepada Ismail
Zahid enggan mengulas lanjut mengenai pertikaian itu, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada Ismail untuk diuruskan. Katanya, isu itu perlu diselesaikan secara baik di peringkat negeri.
Beliau turut menegaskan, soal interpretasi dalam perundangan dan kuasa bukan sekadar melibatkan taksiran undang-undang semata-mata. Institusi di Negeri Sembilan, tambahnya, perlu dihormati tanpa mengetepikan kedudukan institusi yang sedia ada.
Pembatalan pelantikan exco cetus pertikaian
Perkembangan ini berlaku susulan pengumuman Istana Negeri Sembilan bahawa Tuanku Muhriz memutuskan untuk membatalkan pelantikan 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Ini kerana mereka didakwa melanggar sumpah jawatan berikutan satu kenyataan bersama yang menyokong penyingkiran baginda sebagai pemerintah negeri.
Mereka sebelum ini mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Ismail semalam mempertikaikan keputusan tersebut. Katanya, Perlembagaan Negeri Sembilan tidak membenarkan Yang Dipertuan Besar menamatkan tempoh jawatan seorang anggota exco, melainkan atas nasihat atau permintaan menteri besar.
Minggu lalu, exco berkenaan mengeluarkan kenyataan bersama yang didakwa mengesahkan hasrat untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar. Ismail turut menyokong kenyataan itu sehari kemudian, walaupun sebelum ini beliau mendakwa dipaksa menandatangani pengisytiharan berkenaan.
Dewan Keadilan dan Undang kemudiannya menolak kenyataan exco itu kerana dianggap tidak berperlembagaan dan tidak sah. Sekali gus, ia mengesahkan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.