
Barisan Nasional (BN) mungkin bertembung dengan PAS di kerusi majoriti Melayu sekiranya bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus mengundang risiko perpecahan undi, termasuk menggugat kedudukan parti itu terutama di kerusi marginal.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak, berkata jika BN memilih untuk bergerak solo, ia akan bertanding di semua 28 kerusi untuk mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada 2021.
“Ia termasuk 18 kerusi UMNO, dua MCA dan satu MIC, serta memikul sendiri beban merebut tujuh kerusi lawan,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, BN tidak mungkin bergerak solo kerana Ahmad Zahid Hamidi pernah memberi isyarat membayangkan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) akan diteruskan ke Melaka, manakala Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, turut mengesahkan rundingan agihan kerusi sedang berjalan.
“Keadaan pembangkang kini juga berpecah kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menggantung kegiatan PN berkuat kuasa 23 September lalu, manakala PAS menghentikan kerjasama dengan Bersatu sejak Jun.
“Memandangkan PN digantung, kerjasama ini mungkin berbentuk persefahaman langsung UMNO dan PAS, dan kedua-dua parti mungkin tidak berminat bertembung di kerusi majoriti Melayu.
“Akhirnya, pertembungan UMNO dan PAS boleh dielakkan melalui formula yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, antaranya UMNO mengekalkan kerusi penyandangnya manakala PAS diberi peluang di kerusi yang dipegang lawan melalui pertandingan satu lawan satu menentang PH,” katanya ketika dihubungi.
BN perlu segera jelaskan calon dan tawaran utama, kata pensyarah UiTM
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Mazlan Che Soh, berkata BN perlu segera memberi penjelasan kepada pengundi mengenai siapa calon, di mana mereka bertanding, dan apakah tawaran utama BN untuk PRN Melaka.
Sekiranya kerjasama lewat dimuktamadkan, katanya, ia boleh menjejaskan beberapa perkara, terutama strategi dan sumber.
“Rundingan di peringkat kepimpinan mungkin boleh berterusan, tetapi di peringkat akar umbi, mereka memerlukan arahan yang jelas. Semakin lewat keputusan dibuat, semakin tinggi kos penyelarasan jentera.
“Jika berlaku pertembungan UMNO dan PAS, ia berpotensi mengubah pola pertandingan terutama di kawasan majoriti Melayu, namun kita tidak boleh melihat pengundi Melayu sebagai satu blok yang seragam.
“Pengundi hari ini turut menilai calon, isu tempatan, prestasi kerajaan, kos sara hidup dan kestabilan politik. Sebab itu, kesannya perlu dilihat kerusi demi kerusi, bukan menggunakan satu formula untuk seluruh Melaka,” katanya.
Isu Negeri Sembilan berasingan tapi boleh masuk wacana kempen
Menyentuh krisis membabitkan institusi politik di Negeri Sembilan, Mazlan berkata dari segi pentadbiran dan perlembagaan, kedua-duanya adalah isu yang berasingan.
“Negeri Sembilan sedang melalui pertikaian yang membabitkan institusi negeri dan kedudukan exco, manakala Melaka sedang memasuki proses pilihan raya.
“Namun dari segi persepsi politik, isu di Negeri Sembilan boleh masuk ke dalam wacana kempen. Sebab itu, jentera BN Melaka perlu memastikan fokus kekal kepada isu dan kepentingan rakyat Melaka,” katanya.
Bagi Muhammad Afifi, walaupun isu Negeri Sembilan secara teknikal berasingan, ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada BN di Melaka kerana parti itu ialah pemain utama dalam krisis berkenaan.
“Melaka juga mempunyai hubungan budaya yang dekat dengan Negeri Sembilan kerana Adat Perpatih masih diamalkan di 25 mukim dalam daerah Alor Gajah dan Jasin, manakala Naning secara sejarahnya pernah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Negeri Sembilan.
“Namun, kesannya tidak semestinya besar kerana pengundi Melaka lazimnya lebih dipengaruhi isu tempatan dan faktor calon,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.