
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan bahawa beliau akan memulakan prosiding saman terhadap dua pemimpin kerajaan berhubung isu tular karikatur beruk yang dikaitkan dengannya.
Beliau menyatakan, walaupun isu tersebut kini dilihat semakin reda, bukti-bukti berkaitan kes berkenaan telah banyak dikumpulkan.
“Nampaknya isu ini sudah reda, tetapi bahan bukti telah berjaya dikumpulkan. Jika ada lagi bukti tambahan, kita akan kumpulkan terlebih dahulu. Hari ini kita mula menguruskan surat tuntutan (LOD) terhadap dua individu – seorang Ahli Parlimen dan seorang pemimpin sayap pemuda sebuah parti.
“Mereka sengaja menyebarkan tohmahan berdasarkan salah tafsir terhadap hantaran di pautan https://www.facebook.com/share/p/1AufwWya6u/?mibextid=wwXIfr. Tindakan terhadap pihak lain akan menyusul, satu persatu,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Terdahulu, Ahmad Fadhli didakwa menghina peranan rasmi Malaysia dalam usaha diplomatik meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja melalui satu karikatur yang dimuat naik di Facebook beliau.
Karikatur tersebut menggambarkan seekor monyet berjubah hakim bertindak sebagai orang tengah antara kambing dan biri-biri, yang ditafsirkan sebagai sindiran terhadap peranan Malaysia selaku pengerusi ASEAN dalam rundingan damai tersebut.