
Bursa Malaysia menamatkan sesi pagi dengan prestasi positif, disokong aktiviti belian berterusan dalam saham utama serta sentimen pasaran yang dipacu oleh faktor dasar baharu.
Pada pukul 12.30 tengah hari, Indeks FBM KLCI meningkat 18.72 mata atau 1.24% kepada 1,531.97, berbanding penutupan semalam pada 1,513.25.
Indeks penanda aras dibuka 6.62 mata lebih tinggi pada 1,519.87 dan bergerak antara 1,519.70 hingga 1,533.10 sepanjang sesi pagi.
Pasaran secara keseluruhan positif dengan 462 kaunter untung mengatasi 395 kaunter rugi. Sebanyak 476 tidak berubah, 1,157 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan mencecah 2.03 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.
Menurut Hong Leong Investment Bank, indeks KLCI berpotensi menguji semula zon rintangan 1,530–1,550, dipacu pengumuman tarif 19% dan perincian Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Namun, sentimen mungkin kekal berhati-hati pada bulan Ogos akibat aliran keluar asing dan cabaran dalam negeri seperti rasionalisasi subsidi dan peluasan SST.
Saham utama: Maybank naik 20 sen kepada RM9.59, Public Bank tambah 6 sen kepada RM4.27, TNB meningkat 4 sen kepada RM13.06, CIMB naik 25 sen kepada RM6.80, dan IHH tambah 2 sen kepada RM6.67.
Kaunter aktif termasuk Pegasus Heights, Pharmaniaga dan TWL masing-masing kekal pada 0.5 sen, 17.5 sen dan 2.5 sen. Tanco naik 1 sen kepada 84.5 sen dan Ekovest naik 2 sen kepada 43.5 sen.
Peningkatan tertinggi dicatat oleh MPI (+46 sen kepada RM20.60), UMS Integration (+38 sen kepada RM5.38) dan Allianz Malaysia (+24 sen kepada RM17.66). Kerugian tertinggi melibatkan Nestle (-28 sen kepada RM87.80), Mesiniaga (-16 sen kepada RM1.30) dan Perusahaan Sadur Timah (-11 sen kepada RM1.79).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.