
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, antara dua nama yang dilihat berpotensi dipertimbangkan sebagai pengganti Anthony Loke, sekiranya beliau bertegas melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan.
Penganalisis politik, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, kedua-dua pemimpin muda DAP itu mempunyai latar belakang politik yang sesuai untuk diberi perhatian, sekiranya parti berkenaan terus diberikan portfolio berkenaan.
Menurutnya, selain Young Syefura dan Syahredzan, terdapat juga kemungkinan portfolio itu turut dipertimbangkan untuk disandang pemimpin DAP lain, sekiranya Anthony benar-benar berundur.
“Saya nampak Syahredzan yang akan naik, mungkin saya nampak Nga Kor Ming akan ke (Kementerian) Pengangkutan.
“Tetapi mungkin Anthony berundur, Syahredzan masuk, itu boleh menjadi satu persoalan yang menarik. Sebab, (Kementerian) Pengangkutan ini macam legasi untuk mereka (DAP). Selain itu, Rara (Young Syefura) juga boleh dipertimbangkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Anthony menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, pemilihan pengganti Anthony juga boleh dilihat dari sudut representasi dan imej DAP, khususnya dalam menampilkan lebih ramai pemimpin Melayu dalam barisan kepimpinan parti.
Menurutnya, sekiranya portfolio Pengangkutan terus diperuntukkan kepada DAP dalam formula Kerajaan Perpaduan, terdapat asas politik untuk jawatan itu disandang wakil parti berkenaan. Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir tetap terletak pada Perdana Menteri.
Bukan sekadar soal pengganti
Dalam pada itu, beliau berpandangan perkara yang lebih penting bukan sekadar siapa yang menggantikan Anthony, tetapi mesej politik yang dibawa melalui keputusan berkenaan.
“Anthony mungkin kehilangan jawatan, tetapi DAP memperoleh sesuatu yang lain iaitu simbol bahawa mereka masih mempunyai garis merah.
“Ironinya, tindakan yang kelihatan seperti DAP sedang menjauhkan diri daripada kerajaan, mungkin sebenarnya cara DAP memastikan kerajaan itu terus hidup. Dan ini yang saya fikir ramai terlepas pandang,” katanya.
Beliau berkata, DAP tidak semestinya perlu memilih antara prinsip dan kuasa, sebaliknya cuba mengekalkan kedua-duanya, dengan kos politik ditanggung oleh seorang sahaja pemimpin.
DAP bermain di dua papan catur, kata penganalisis
Menurutnya, perkara yang lebih menarik untuk diperhatikan ialah keputusan DAP untuk terus kekal dalam kerajaan, walaupun Anthony menawarkan peletakan jawatan.
Katanya, DAP mempunyai lima menteri dan tujuh timbalan menteri dalam Kabinet, namun hanya Anthony yang menawarkan untuk meninggalkan kerajaan berhubung isu berkenaan.
“Mengapa? Di sinilah saya fikir DAP sedang bermain pada dua papan catur serentak. Papan pertama ialah prinsip, manakala papan kedua ialah negara dan kuasa pemerintahan,” ujarnya.
Beliau berkata, dari sudut prinsip, DAP sejak 2018 membina sebahagian legitimasi politiknya melalui isu 1MDB, akauntabiliti, serta tuntutan supaya pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Justeru, katanya, keputusan Anthony menawarkan peletakan jawatan boleh dilihat sebagai simbol pendirian parti berhubung isu berkenaan. Manakala keputusan untuk mengekalkan menteri dan timbalan menteri lain pula menunjukkan DAP tidak memilih tindakan yang boleh mencetuskan krisis terhadap kerajaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.