
Gara-gara rasa tidak puas hati terhadap rakan sekelas, sekumpulan pelajar sekolah bertindak membelasah mangsa di sebuah pusat beli-belah di sini, dalam kejadian yang videonya tular di media sosial pada Rabu.
Kejadian itu melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang ditumbuk dan ditampar oleh dua rakan sekelasnya kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Kajang Naazron Abdul Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa berada di pusat beli-belah tersebut bersama rakan sekolahnya sebelum dipanggil berbincang oleh beberapa pelajar lain.
“Perbincangan itu berkaitan rasa tidak puas hati mereka terhadap sikap mangsa sebelum dua daripada mereka bertindak menumbuk dan menamparnya.
“Dua pelajar lain pula merakam insiden berkenaan menggunakan telefon bimbit sebelum video tersebut tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di sebuah hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa pada jam 12.57 tengah hari Khamis.
“Susulan itu, empat pelajar lelaki tempatan berusia 13 tahun telah ditahan di sekitar Bandar Kajang kira-kira jam 8.35 malam pada hari sama.
“Mahkamah membenarkan kesemua suspek direman selama dua hari sehingga 2 Ogos bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Naazron menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang, termasuk pelajar sekolah.
“Polis Daerah Kajang memandang serius insiden ini dan menasihatkan semua pelajar supaya mematuhi peraturan sekolah serta mengelak daripada terlibat dalam sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan masa depan mereka,” katanya.
Beliau turut menggesa orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrulhasram Ramli di talian 017-2530380 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.