
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa MCA akan diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam.
Katanya, MCA akan diberikan kerusi untuk ditandingi, manakala MIC tidak akan berbuat demikian kerana jumlah pengundi India di Sabah terlalu kecil dan tidak signifikan.
“MCA akan ada calon, tetapi MIC tidak kerana jumlah pengundi India terlalu kecil. PBRS pula akan diberi peluang sebagai parti komponen BN,” katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa kebanyakan calon BN terdiri daripada muka baharu dan golongan profesional, di samping mengekalkan beberapa penyandang.
Beliau menambah bahawa kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN17 telah dimuktamadkan, tanpa pertindihan agihan kerusi.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 16 Oktober untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.