(IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.)
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan beliau mahu terus bertahan sebagai pemimpin yang mencintai negara, bukan mengikut desakan supaya dasar kerajaan berteraskan dominasi kaum demi kelangsungan politik.
Beliau berkata demikian berikutan naratif daripada pihak tertentu yang mendakwa dasar negara perlu disesuaikan dengan dominasi Melayu jika mahu terus bertahan dalam politik.
“Orang kata Anwar, kamu mesti menyesuaikan diri dengan dasar itu mesti berteraskan Melayu, dominasi Melayu. Jika tidak, kamu tidak akan dapat bertahan.
“Saya jawab, saya mahu terus bertahan sebagai pemimpin Malaysia yang mencintai negara ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan 2026 di Little India, Brickfields.
Pertahan Perlembagaan, tetapi keadilan untuk semua
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau mahu mempertahankan prinsip negara dan Perlembagaan, termasuk kedudukan Bahasa Melayu, agama Islam serta hak dan keselamatan orang Melayu.
Namun, beliau mengingatkan bahawa keselamatan dan kestabilan negara turut bergantung kepada jaminan keadilan, kejayaan serta kebahagiaan untuk semua kaum dan setiap rakyat Malaysia.
Menurutnya, kekayaan negara perlu dimanfaatkan untuk memakmurkan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, kerana kemiskinan bukan hanya melibatkan satu kelompok masyarakat.
Beliau berkata, ada orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan yang berjaya, namun masih terdapat golongan miskin dalam setiap komuniti yang memerlukan perhatian kerajaan.
Anwar turut mendakwa ada pihak menggunakan isu kaum untuk mengalihkan perhatian daripada isu rasuah dan penipuan, sedangkan sebahagian individu yang lantang bercakap mengenai kelangsungan kaum adalah antara yang terkaya di negara ini.
“Perjuangan itu sebenarnya untuk memperkayakan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya.
Mesej Deepavali dan isu masyarakat India
Mengaitkan mesej Deepavali dengan perpaduan, Anwar berkata Pesta Cahaya membawa simbol menghapuskan kegelapan serta memberi pencerahan kepada masyarakat untuk menjadi lebih adil, saksama dan bermoral.
Beliau turut mengakui masih terdapat beberapa perkara membabitkan masyarakat India yang perlu diperbaiki, termasuk pendidikan, sekolah Tamil, isu kuil Hindu, peniaga serta kemiskinan masyarakat itu di bandar dan ladang.
Katanya, kerajaan berusaha membantu semua kaum menerusi pelbagai inisiatif, termasuk bantuan RM200 bagi setiap anak sekolah pada Januari. Bantuan itu diberikan tanpa mengira kaum dan daerah bagi meringankan beban keluarga menjelang pembukaan sekolah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.