Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan masih belum menerima peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, yang ketika ini masih bercuti.
Beliau berkata, sudah mengadakan pertemuan dengan Loke yang memberikan alasan berhubung perkara itu, sebelum meminta menteri berkenaan bercuti terlebih dahulu.
“Saya belum terima peletakan jawatan, dia masih bercuti.
“Jumpa, dia bagi alasan yang kita tahu dan saya beritahu… cuti dulu,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI Temu AI” dan Majlis Peluncuran CikguILMU oleh YTL AI Labs di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Perdana Menteri tampung tugas kementerian
Mengulas mengenai pengurusan tugas Menteri Pengangkutan sepanjang ketiadaan Loke, Anwar berkata, urusan pentadbiran kementerian itu masih boleh diteruskan mengikut peraturan sedia ada, menerusi peranan Ketua Setiausaha (KSU) dan Timbalan Menteri.
Bagaimanapun, beliau akan menanggung sementara tugas berkenaan.
“Tugas sekarang ni kalau ikut peraturannya memang… KSU ada, Timbalan Menteri ada, tapi memang Perdana Menteri tampung sekejap,” katanya.
Loke umum letak jawatan susulan keputusan Najib
Pada 10 November lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, Loke dan Ahli Parlimen DAP lain kekal menyokong kepimpinan Anwar.
Susulan perkembangan itu, Anwar menyatakan belum membuat sebarang keputusan berhubung peletakan jawatan Loke, meskipun sudah menerima surat rasmi daripada pemimpin DAP berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.