Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta menerusi dua saman. Saman itu berhubung dakwaan kegagalan syarikat tersebut mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di YouTube.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, setiap saman membabitkan tuntutan RM300 juta, dengan masing-masing RM100 juta bagi ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Saman pertama: ribuan kandungan memudaratkan
Saman pertama membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan. Dakwaan itu berasaskan pelanggaran peruntukan undang-undang dan syarat lesen, serta kecuaian.
“Dalam tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober lalu, MCMC sudah mengemukakan sebanyak 74,703 laporan kepada YouTube, dengan 74,569 daripadanya (99.8 peratus) berkaitan perjudian dalam talian.
“Daripada jumlah laporan berkaitan perjudian dalam talian tersebut, sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan daripada platform dalam tempoh satu hari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas,” katanya.
Menurut MCMC, sebanyak 35 laporan pula mengambil masa lebih 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih 30 hari dari tarikh laporan dikemukakan.
“Angka ini menunjukkan skala penyebaran kandungan yang memudaratkan di platform tersebut serta kelewatan dalam menangani kandungan berkenaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, tuntutan ganti rugi bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan, susulan kegagalan sistemik Google. Tuntutan itu juga bertujuan menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
MCMC berkata, tuntutan berkenaan turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa, serta keperluan memastikan Google dipertanggungjawabkan supaya ketidakpatuhan yang sama tidak berulang.
Saman kedua: kandungan Papagomo
Bagi saman kedua, MCMC memaklumkan ia membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya di bawah undang-undang dan bertindak secara proaktif. Ia berhubung penerbitan semula kandungan yang didakwa melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang juga dikenali sebagai Papagomo.
“Kandungan itu kini tertakluk kepada injunksi interim yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.
“MCMC menegaskan bahawa semua penyedia platform media sosial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi segala kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen masing-masing,” katanya.
MCMC gesa platform media sosial bertindak
Justeru, MCMC turut menggesa semua penyedia platform media sosial mengambil langkah sewajarnya untuk menangani kandungan yang melanggar undang-undang dan memudaratkan di platform masing-masing.
“Kedua-dua saman ini adalah usaha berterusan MCMC untuk melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak, daripada ancaman dalam talian, di samping menangani penyebaran berterusan kandungan yang telah menjadi subjek tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.