
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tidak menolak kemungkinan bahawa pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan Gaza menjadi antara faktor yang mendorong kehadiran ejen perisikan luar seperti Mossad, termasuk terlibat dalam aktiviti penyeludupan senjata dan dadah di negara ini.
Menurut beliau, kerajaan telah mengambil beberapa langkah tambahan melalui Kementerian Dalam Negeri bagi mengenal pasti aktiviti-aktiviti sedemikian serta memperkukuh keupayaan keselamatan negara.
“Agensi perisikan antarabangsa termasuk Mossad sememangnya dikenal pasti. Laporan terkini juga telah dibentangkan oleh badan perisikan negara,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjelaskan bahawa pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap perkara ini, terutamanya selepas terbukti wujudnya kehadiran ejen asing yang turut menggunakan pasangan rakyat tempatan, termasuk suami isteri Melayu, sebagai ejen atau kolaborator Mossad.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan meningkatkan keselamatan negara berikutan beberapa insiden melibatkan ejen Mossad, termasuk kes pembunuhan pensyarah warga Palestin yang dipercayai didalangi oleh agensi perisikan Israel itu.
Ahli Parlimen Machang turut membangkitkan isu kerosakan sistem autogate di pintu masuk negara yang dikhuatiri boleh menjejaskan aspek keselamatan.
Menjawab perkara itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat isu berkaitan keselamatan, terutamanya apabila terdapat bukti penggunaan individu tempatan oleh ejen asing untuk menjalankan operasi mereka.
“Teknologi yang digunakan mereka amat canggih dan menyebabkan mereka mampu meloloskan diri sebelum dapat dikenalpasti. Antara kes terbaru ialah pasangan suami isteri dari Selangor yang dipercayai bersekongkol dengan ejen Mossad dalam menyeludup senjata dari Thailand. Mereka kini telah ditahan di penjara,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu sistem autogate yang dikaitkan dengan rangkaian keselamatan antarabangsa, termasuk Interpol, dan memaklumkan bahawa masalah itu telah berjaya diselesaikan setakat ini.