
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa satu bentuk penghargaan istimewa kepada rakyat akan diumumkan dalam tempoh terdekat, berkemungkinan pada minggu hadapan.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan kini sedang memperhalusi cadangan-cadangan yang boleh dilaksanakan segera bagi meringankan beban rakyat serta menangani isu-isu semasa yang mendesak.
“Setiap minggu pasukan di Kementerian Kewangan meneliti langkah-langkah yang boleh diumumkan dalam masa singkat dan dapat membantu meringankan kesusahan rakyat.
“Kalau bukan hari Isnin, mungkin Selasa… beri masa dua tiga hari lagi untuk diperincikan. Nanti saya akan umumkan. Doakan yang baik-baik, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan sedang mencari kaedah terbaik untuk mengimbangi kenaikan kos sara hidup dengan keupayaan fiskal negara, memandangkan jumlah perbelanjaan sedia ada untuk bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta kenaikan gaji penjawat awam sudah mencecah angka berbilion ringgit.
Pada 14 Julai lalu, Anwar pernah memberikan bayangan mengenai perkara itu menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, yang memaparkan poster bertulis “AKAN DATANG” beserta mesej:
“Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku.”
Hantaran tersebut mendapat perhatian ramai warganet yang rata-rata meluahkan keterujaan dan menantikan pengumuman yang dijangka memberi manfaat menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia.