
Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya memaklumkan bahawa beliau baru-baru ini menghadiri pertemuan dengan pemimpin parti pembangkang atas jemputan bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, namun tiada sebarang keputusan kerjasama politik dibuat.
Amira dalam hantaran Facebok berkata, walaupun parti-parti yang hadir mempunyai perbezaan yang ketara, mereka semua berkongsi kebimbangan terhadap beberapa isu utama termasuk kos sara hidup yang semakin menekan rakyat, penyalahgunaan kuasa yang kian berleluasa, serta janji-janji reformasi yang belum ditunaikan.
“MUDA percaya pembangkang perlu menjadi suara yang tegas dan berprinsip untuk memastikan kerajaan tidak terlepas daripada tanggungjawab,” tegasnya.
“MUDA terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan dasar dan polisi yang sama.”
Beliau menambah bahawa MUDA telah mencapai persefahaman politik dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan bekerjasama dengan Pejuang dalam hal Agenda Bandar dan Luar Bandar (URA).
Namun, Amira menjelaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang keputusan dibuat mengenai kerjasama politik, dan sebarang perbincangan akan diputuskan secara kolektif oleh pimpinan MUDA.