
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyatakan sokongan peribadi terhadap pengembalian hukuman rotan di sekolah, namun menegaskan pelaksanaannya mesti disertai dengan syarat-syarat yang ketat untuk mengelakkan penyalahgunaan.
Anwar berkata hukuman rotan tidak wajar dilaksanakan secara terbuka dan perlu dibatasi dari segi cara, tempat serta jumlah yang dibenarkan. Beliau mengimbau pengalamannya sebagai seorang bekas guru dan mengakui pernah melaksanakan hukuman itu dalam bentuk yang tidak keterlaluan.
“Pandangan peribadi saya, hukuman rotan harus dikembalikan, (Namun) bukan diberi kelonggaran sepenuhnya, rotan mungkin (dilakukan) di tangan. Saya pernah jadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan. Tapi di tangan, tentunya tidak teruk sangat, sehingga nampak seperti penderaan,” kata beliau ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH–Jelutong) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri mengakui terdapat kebimbangan daripada kumpulan hak asasi yang melihat hukuman rotan sebagai bentuk penderaan kanak-kanak, tetapi pada masa sama ramai pendidik dan ibu bapa merasakan hukuman tersebut perlu wujud sebagai langkah disiplin.
Beliau mencadangkan beberapa kawalan termasuk memperuntukkan guru tertentu untuk melaksanakannya, penggunaan bilik khas disiplin serta penetapan had maksimum bilangan rotan.
“Kalau dikembalikan hukuman rotan ada syarat-syarat yang ketat dan perlu ditugaskan guru-guru tertentu, (selain) dilakukan di bilik khas iaitu bilik disiplin serta ditetapkan berapa jumlah maksimum rotan. Ada beberapa peraturan, jadi saya fikir, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang. Kerana kenakalan anak-anak adalah satu perkara biasa, namun jika melanggar peraturan secara berlebihan, tentunya perlu ada hukuman. Tapi ini sekadar pandangan dan bukan dasar kerajaan,” jelasnya, sambil menambah sebarang keputusan memerlukan libat urus semua pihak dan akan dikendalikan oleh Menteri Pendidikan sebelum dimuktamadkan.
Mengulas mengenai kes pendakwaan ke atas dua guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian yang didakwa merotan pelajar, Anwar berkata perkara itu sedang berjalan di mahkamah.
Beliau turut menegaskan perlunya rujukan kepada fakta selepas mendapati salah seorang murid yang terlibat adalah anak autisme, sekali gus mungkin menjadikan keadaan berbeza.
“Eloklah kita ikut fakta, saya tidak harus komen lebih daripada itu. Tapi kalau kes itu agak ringan, maka tentunya pihak pendakwa raya boleh menilai semula sama ada untuk meringankan tuduhan berkenaan,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menyinggung cadangan larangan penggunaan telefon bimbit dan media sosial di sekolah yang menimbulkan bantahan. Beliau menekankan kerajaan tidak bercadang mengharamkan telefon bimbit sepenuhnya, sebaliknya menumpukan kepada kawalan penggunaan media sosial dalam lingkungan sekolah kerana ia membawa risiko seperti pendedahan kepada pedofilia dan aktiviti perjudian. Anwar mengingatkan bahawa penekanan terhadap ilmu dan kecanggihan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada aspek adab dan akhlak.
Beliau menegaskan bahawa segala cadangan berkaitan disiplin sekolah akan melalui perbincangan menyeluruh sebelum sebarang keputusan rasmi diambil.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.