Adun Lenggeng, Mohd Asna Amin, menegaskan beliau belum layak memegang jawatan menteri besar Negeri Sembilan, susulan spekulasi namanya antara calon yang dikaitkan untuk menggantikan Ismail Lasim.
Katanya, hubungan rapat dengan Presiden Umno, Zahid Hamidi, bukan alasan untuk mengaitkan namanya dengan jawatan tersebut kerana semua wakil rakyat parti itu dan Barisan Nasional (BN) mempunyai hubungan yang sama.
Hubungan rapat dengan presiden Umno
“Saya tidak layak jadi menteri besar.
“Kalau nama saya disebut kerana rapat dengan presiden Umno, saya nak jelaskan bahawa semua wakil rakyat Umno dan BN sangat rapat dengan presiden.
“Kami sentiasa berjumpa dan berbincang. Ayahanda presiden umpama ayah kepada kami,” katanya kepada FMT.
Menurut laporan, selain Asna, nama ketua Umno Negeri Sembilan merangkap Adun Pertang, Jalaluddin Alias, serta Adun Rantau, Mohamad Hasan, yang juga timbalan presiden Umno, turut dikaitkan dengan spekulasi itu.
Istana belum sahkan surat peletakan jawatan
Kemelut politik negeri kembali menjadi perhatian selepas setiausaha agung BN mengesahkan parti itu menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail, yang didakwa dihantar kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, istana menjelaskan bahawa peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Istana turut memaklumkan bahawa kesahihan surat peletakan jawatan yang dikaitkan dengan Ismail masih belum disahkan.
Ismail dijangka menghadap Tuanku Muhriz
Terbaru, Ismail dilaporkan dibenarkan meneruskan tugas sebagai menteri besar.
Beliau dijangka menghadap Tuanku Muhriz esok bagi membincangkan perjalanan sidang DUN serta kedudukan 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.