Krisis perlembagaan yang berterusan di Negeri Sembilan dikatakan telah menjejaskan fungsi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu, kata seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata, tujuh PBT tidak mengadakan mesyuarat sejak tiga bulan lalu kerana ahli majlis masing-masing masih belum dilantik.
Nasib peruntukan RM689 juta dipersoal
Ahli Parlimen DAP itu bertanya sama ada PBT berkenaan akan terus menerima peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sebanyak RM689 juta pada tahun depan, bagi projek-projek kecil.
“Tiada ahli majlis, tiada exco, dan menteri besar mungkin ada, mungkin tiada. Kita pun tak tahu.
“Rakyat juga tertanya-tanya. Oleh itu, saya ingin bertanya sama ada PBT ini masih akan menerima peruntukan daripada kementerian.
“Ada keperluan perkara ini diteruskan kerana perlu ada projek-projek kecil di kawasan tertentu. Ini untuk rakyat,” katanya ketika membahaskan belanjawan kementerian itu bagi 2027 di peringkat jawatankuasa.
Ahli majlis PBT lazimnya dilantik daripada kalangan anggota parti pemerintah dan kumpulan masyarakat sivil.
Status menteri besar masih belum jelas
Pada Isnin, Barisan Nasional (BN) berkata Adun Juasseh, Ismail Lasim, telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar. Perkara itu dimaklumkan selepas BN menerima salinan surat peletakan jawatannya yang dialamatkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengerusi BN, Zahid Hamidi, turut berkata gabungan itu telah mengemukakan nama seorang calon kepada Tuanku Muhriz bagi menggantikan Ismail.
Bagaimanapun, pihak istana pada Selasa masih belum mengesahkan peletakan jawatan Ismail. Surat berkenaan hanya diserahkan ke Istana Hinggap pada 12.16 tengah malam hari itu oleh seorang individu daripada sebuah firma guaman.
Dalam perkembangan terbaru, Tuanku Muhriz dilaporkan mengarahkan Ismail supaya meneruskan tugasnya sebagai menteri besar seperti biasa.
Exco dilucutkan jawatan sejak 20 Sept
Negeri Sembilan tidak mempunyai majlis mesyuarat kerajaan negeri sejak 20 Sept, apabila kesemua 10 anggota exco negeri dilucutkan jawatan kerana didakwa melanggar sumpah jawatan masing-masing.
Pemecatan itu menyusuli kenyataan yang dikeluarkan oleh anggota exco berkenaan lima hari sebelumnya, bagi menyokong satu pengisytiharan yang bertujuan menurunkan Tuanku Muhriz.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.