Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak melayan desakan keluar daripada kerajaan perpaduan. Langkah itu perlu bagi mengelak BN dipersalahkan jika PRU16 diadakan lebih awal, kata bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Nazri Aziz.
Beliau berkata, meskipun BN sudah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa, gabungan itu perlu mengingati titah Yang di-Pertuan Agong ketika kerajaan perpaduan dibentuk selepas PRU15 pada 2022.
Pesanan supaya BN tidak tarik diri
“Saya harap BN dengar cakap Agong supaya kerjasama sampai PRU16. Kena tunggu dan tak boleh withdraw (tarik diri).
“Jangan PRU16 berlaku disebabkan BN keluar (menyebabkan Parlimen terpaksa dibubarkan).
“Kalau PH nak bubar, bubarlah,” katanya kepada FMT.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, pada Selasa mencabar BN menarik diri daripada kerajaan perpaduan. Beliau mendakwa gabungan itu tidak berani berbuat demikian kerana bimbang kehilangan jawatan dan pengaruh politik.
Loke membalas kenyataan Pengerusi BN, Zahid Hamidi, yang mencadangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, membubarkan Parlimen lebih awal daripada melakukan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatannya sebagai menteri pengangkutan.
BN menjadi sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan perpaduan diketuai Anwar selepas keputusan PRU15, yang menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah.
Rakyat kini boleh membandingkan
Ditanya sama ada gesaan PRU awal oleh Zahid berisiko memakan diri Umno seperti pada PRU15, Nazri berkata keadaan politik ketika ini berbeza berbanding sewaktu pentadbiran bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, ketika itu PH di bawah pimpinan Anwar belum diberi peluang mentadbir negara. Keadaan itu berbeza dengan sekarang apabila rakyat sudah boleh membandingkan prestasi pentadbiran PH dan BN.
Beliau turut mendakwa banyak janji PH masih belum ditunaikan, sekali gus memberi ruang kepada rakyat menilai sendiri kemampuan kedua-dua gabungan.
“Sekarang rakyat boleh banding. Pemerintahan PH dengan BN,” katanya.
Harapan pada PRN Melaka
Nazri turut menyifatkan momentum politik BN semakin baik. Beliau berharap keputusan PRN Melaka dapat menjadi petunjuk tahap sokongan rakyat terhadap gabungan itu.
“Kita tengok pula Melaka macam mana. Insya-Allah kalau kita menang besar maknanya rakyat sudah bersedia untuk memberi sokongan kepada kita,” katanya.
PRN Melaka Sabtu ini menyaksikan BN dan Perikatan Nasional (PN) berdepan PH, Bersatu dan parti lain.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.